Permohonan Sanusi sekadar lengahkan masa - Pendakwaan

Sanusi
Sanusi
A
A
A

SELAYANG - Pihak pendakwaan membantah permohonan Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor untuk menangguhkan perbicaraan kes menyebut perkataan menghasut di Mahkamah Sesyen di sini sehingga keputusan untuk memindahkan kes, diketahui terlebih dahulu di Mahkamah Tinggi Shah Alam.

Semasa prosiding sebutan kes di hadapan Hakim, Nor Rajiah Mat Zain, Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Masri Mohd Daud berkata, permohonan itu menunjukkan pihak pembelaan Menteri Besar Kedah, sekadar mahu melengah-lengahkan perbicaraan yang telah ditetapkan mahkamah sebelum ini.

Menurutnya, pihak Sanusi, 50, mempunyai masa yang panjang untuk memfailkan notis terbabit, bukannya enam bulan selepas dituduh pada 18 Julai tahun lalu, selain perkara itu tidak pernah dibangkitkan dalam prosiding kes lalu.

“Jika mahu memindah kes, ia sepatutnya dibuat lebih awal, bukannya pada saat akhir atau sejurus tarikh bicara dijadualkan bermula.

“Mereka tidak mempunyai alasan yang kukuh untuk memindahkan kes dan menangguhkan prosiding,” katanya.

Masri berkata, ini merupakan kes berprofil tinggi melibatkan seorang pemimpin kerajaan Kedah apatah lagi kes ini menyentuh Yang di-Pertuan Agong dan Raja-Raja Melayu.

Bukan itu sahaja, beliau berkata, 11 dokumen (tidak tebal) berkaitan kes ini telah diserahkan kepada pihak Sanusi pada 4 Oktober tahun lalu maka tiada sebab untuk pihak terbabit mengambil masa yang terlalu lama untuk membuat notis terbabit.

Sementara itu, peguam, Awang Armadajaya Awang Mahmud yang mewakili Sanusi menafikan pihaknya berniat untuk melambat-lambatkan perbicaraan.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, permohonan notis itu hanya boleh disediakan setelah mereka mengkaji dokumen yang diserahkan oleh pihak pendakwaan.

Beliau berkata, jika keputusan notis dibenarkan di Mahkamah Tinggi, ia akan menjadi suatu yang pelik untuk memanggil semula saksi yang selesai memberi keterangan.

“Permohonan kami bukan suatu isu yang remeh, picisan atau bukan atas alasan yang lemah sebaliknya menyentuh prinsip keadilan.

“Susulan itu, saya mohon suatu penggantungan dibenarkan hingga keputusan mahkamah tinggi diperolehi,” katanya.

Sebelum ini, pembelaan telah memfailkan notis tersebut pada 11 Januari, kemudian diserahkan kepada Jabatan Peguam Negara (AGC), lima hari kemudian.

Mahkamah tinggi kemudiannya menetapkan pengurusan kes notis berkenaan, pada 24 Januari.

Perbicaraan kes itu sepatutnya bermula pada Khamis, namun ditangguhkan selepas mahkamah membenarkan permohonan Sanusi yang mempunyai urusan rasmi di luar negara.

Tarikh-tarikh lain perbicaraan itu ialah pada 5, 8, 9, 12, 13, 15, 16,19, 22 dan 23 Februari depan.

Selepas mendengar hujahan kedua-dua pihak, Nor Rajiah Mat Zain menetapkan 2 Februari untuk keputusan permohonan penangguhan perbicaraan kes.

“Bagaimanapun, tarikh bicara pada 12 Februari dilapangkan kerana cuti umum ganti bagi Tahun Baru Cina.

“Tertuduh dikecualikan kehadiran pada tarikh berkenaan, manakala ada tambahan tarikh bicara pada 11, 15 dan 18 Mac depan,” katanya selepas membenarkan permohonan pembelaan supaya Sanusi tidak perlu hadir dalam prosiding pada 2 Februari.

Pada 18 Julai 2023, Sanusi yang juga Pengarah Pilihan Raya Perikatan Nasional itu didakwa telah menyebut perkataan menghasut di Simpang 4, Taman Selayang Mutiara-Kampung Bendahara, Gombak dekat sini pada jam 11 malam, 11 Julai tahun sama.

Kedua-dua kesalahan itu mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Hasutan 1948 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 4(1) akta sama yang membawa hukuman denda sehingga RM5,000 atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!