[VIDEO] Suson fasih bertutur bahasa Jawa, Banjar

A
A
A

SABAK BERNAM - Meskipun berbangsa Cina, seorang warga emas, Lim Ah Moi, 79, fasih bertutur dalam bahasa Jawa dan Banjar.

Keramahan Ah Moi atau lebih popular dikenali sebagai 'Suson' berbual dalam bahasa itu menjadikannya 'popular' setiap kali pelanggan singgah di gerai menjual kerepek yang diusahakannya di Pasar Awam Sungai Besar sejak lebih 10 tahun lalu.

Suson berkata, kelancarannya dalam dua bahasa itu bermula sejak kecil apabila menetap di Kampung Tebuk Jawa dekat sini yang majoritinya penduduk kaum Melayu.

"Saya masih ingat, sewaktu kecil lagi keluarga kami sudah bercampur dengan kaum Melayu di kampung.

"Kami macam satu keluarga kerana pelbagai aktiviti dilakukan antaranya berkubang dalam parit, menunggang basikal waktu malam, menemani rakan mengaji, malah ada kalanya singgah makan di rumah jiran," katanya ketika ditemui pada Khamis.

Suson yang kini menetap di Taman Berkat, Sungai Besar memberitahu, sehingga kini hubungannya dengan rakan di kampung itu masih berterusan.

Suson (kanan) bergambar bersama-sama anak saudara dan pelanggan yang singgah di gerainya di Pasar Awam Sungai Besar di sini.
Suson (kanan) bergambar bersama-sama anak saudara dan pelanggan yang singgah di gerainya di Pasar Awam Sungai Besar di sini.

"Saya menetap di sana sejak lahir hingga usia 17 tahun, namun apabila berjumpa di mana-mana kami saling kenal mengenali antara satu sama lain.

Artikel Berkaitan:

"Saya seronok dapat bercampur dengan kaum Melayu di kampung kerana di situlah dapat belajar mengenali budaya dan adat resam yang berbeza tetapi kami saling memahami," ujarnya.

Selain itu, katanya, percampuran budaya itu membolehkannya menyediakan juadah Melayu antaranya rendang, kari ayam dan masak lemak cili api.

Menurut anak ketiga daripada lapan beradik itu, pergaulan dengan rakan Melayu memberinya peluang mempelajari bahasa etnik masyarakat berkenaan.

Suson (kiri) berbual bersama salah seorang pelanggan yang singgah di gerainya yang menjual kerepek di Pasar Awam Sungai Besar di sini.
Suson (kiri) berbual bersama salah seorang pelanggan yang singgah di gerainya yang menjual kerepek di Pasar Awam Sungai Besar di sini.

"Pada masa itu, ramai kawan Melayu lebih selesa guna bahasa Jawa dan Banjar, lama kelamaan saya faham apa yang mereka katakan.

"Apabila selalu berjumpa, akhirnya lidah saya sudah terbiasa menyebut perkataan bahasa Jawa dan Banjar hingga percakapan saya lancar," jelas ibu empat anak itu.

Suson memberitahu, lebih membanggakan lapan adik beradiknya termasuk sebahagian anak masing-masing mampu bertutur dalam dua bahasa itu.

"Belajar bahasa lain tidak susah, asalkan ada kemahuan lebih-lebih lagi jika kita berkawan dengan berlainan bangsa," tambahnya.

Mengakui bahasa adalah medium terbaik menyatupadukan masyarakat, Suson berkata, kemahirannya bertutur dalam dua bahasa itu menggembirakan jiran dan rakan sekali gus mengeratkan silaturahim.

"Jika ada pelanggan yang singgah di gerai kerepek berbual bahasa Jawa atau Banjar, saya boleh mencelah dan seterusnya kami lebih mesra," tambahnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!