'Ulat' dicekup guna Mercedes Benz bini bawa pelancong

Sebuah kereta jenis Mercedes Benz yang dipercayai diguna untuk aktiviti 'ulat' di Terminal 2 KLIA disita JPJ, pada Selasa. Foto JPJ Selangor
Sebuah kereta jenis Mercedes Benz yang dipercayai diguna untuk aktiviti 'ulat' di Terminal 2 KLIA disita JPJ, pada Selasa. Foto JPJ Selangor
A
A
A

SEPANG - Aktiviti kereta sewa haram atau 'ulat' yang dilakukan seorang lelaki dengan meminjam kereta milik isterinya jenis Mercedes Benz hanya menjerat diri selepas ditahan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 2 di sini pada Selasa.

Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Selangor, Azrin Borhan berkata, penahanan dibuat melibatkan lelaki tempatan berusia 52 tahun.

Katanya, siasatan awal mendapati 'ulat' itu mengenakan tambang kepada dua pelancong warga Australia dengan kadar sebanyak RM150 bagi perjalanan dari Terminal 2 KLIA ke Kuala Lumpur dan akan dibayar apabila tiba di destinasi.

"Pemandu itu ditahan ketika sedang membawa dua penumpang terbabit.

"Susulan itu, JPJ telah bertindak merekod keterangan pemandu itu selain menyita kereta jenis Mercedes Benz dipercayai milik isteri pemandu terbabit," katanya kepada Sinar Harian pada Khamis.

Beliau berkata, siasatan dijalankan di bawah Seksyen 205(1) Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 yang memperuntukkan denda tidak melebihi RM50,000 atau dipenjarakan tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Katanya, sesiapa yang bersubahat untuk aktiviti itu juga boleh didakwa mengikut Seksyen 243(1) di bawah akta yang sama.

"Orang awam dinasihatkan agar menggunakan perkhidmatan pengangkutan yang sah sama ada melalui kaunter perkhidmatan yang disediakan di KLIA, KLIA2 atau membuat tempahan melalui aplikasi e-hailing," ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Tambah Azrin, untuk sebarang aduan trafik, orang awam boleh menyalurkan kepada aduantrafik@jpj.gov.my atau platform aplikasi e-aduan@JPJ beserta butiran pengadu dan butiran aduan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!