Remaja 15 tahun berkomplot songlap duit ibu RM25,000

Arshad
Arshad
A
A
A

ALOR GAJAH - [DIKEMAS KINI] Helah seorang pelajar Tingkatan Tiga yang mendakwa memerlukan wang sebanyak RM25,000 untuk dibebaskan daripada tahanan polis, akhirnya terbongkar.

Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintenden Arshad Abu berkata, remaja lelaki berusia 15 tahun sebelum itu telah menghilangkan diri dari rumahnya sejak 27 November lalu.

Menurutnya, ibu remaja terbabit berusia 58 tahun dan bekerja sebagai pembantu klinik kemudian bertemu rakan anaknya dikenali sebagai Acap dan dia memaklumkan anak lelaki tunggal wanita itu telah ditahan di Balai Polis Seremban, Negeri Sembilan.

"Acap memberitahu si ibu perlu memberi wang sebanyak RM25,000 untuk membebaskan anaknya.

"Wanita itu kemudian ke Tabung Haji cawangan Masjid Tanah pada 29 November lalu dan mengeluarkan wang simpanannya berjumlah RM25,000 sebelum diserahkan kepada Acap secara tunai," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Tambahnya, selepas menyerahkan wang tersebut, anaknya telah pulang ke rumah pada 30 November lalu, namun semakan yang dibuat adik ipar wanita terbabit di balai polis mendapati remaja lelaki itu tidak pernah ditahan polis.

Lebih menyedihkan wang hasil penipuan licik itu adalah bersumberkan simpanan Tabung Haji wanita terbabit dan dikatakan habis dibelanjakan oleh ketiga-tiga suspek untuk berjoli termasuk di Genting Highlands.

Ujarnya, wanita tersebut yang merasakan dirinya telah ditipu telah membuat laporan polis pada 2 Disember 2023.

Artikel Berkaitan:

"Siasatan yang dijalankan mendapati selain Acap, terdapat seorang lagi lelaki berusia 29 tahun dipercayai menyamar sebagai anggota polis untuk memperdayakan mangsa," ujarnya.

Jelasnya, susulan itu polis menahan ketiga-tiga suspek bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 109 kanun sama.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!