Warga emas maut basikal digilis treler
BIDOR - Seorang lelaki warga emas maut selepas basikal yang ditunggangnya digilis sebuah treler dalam kejadian di KM68, Jalan Tapah-Kuala Lumpur di sini pada Selasa.
Ketua Polis Daerah Tapah, Superintenden Mohd Naim Asnawi berkata, siasatan awal mendapati kemalangan terbabit dipercayai berlaku apabila treler yang dipandu seorang lelaki dari arah Kuala Lumpur bergesel dengan basikal berkenaan yang berada dalam kedudukan titik buta sebelum menggilis mangsa.
Menurutnya, susulan itu mangsa berusia 82 tahun yang mengalami kecederaan parah akibat kemalangan tersebut meninggal dunia di tempat kejadian.
"Hasil bedah siasat yang dijalankan di Hospital Tapah mendapati punca kematian disebabkan kecederaan akibat kemalangan tersebut.
"Untuk itu, kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.
Sementara itu, Mohd Naim meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian kemalangan tersebut diminta menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik, Inspektor P Prathiparaj di talian 014-6178095 bagi membantu siasatan.
Terdahulu, tular di media sosial rakaman video berdurasi 34 saat menunjukkan seorang lelaki terbaring bersama basikal di tepi jalan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!