Geng pecah rumah Che Wan mengaku salah ceroboh, halang tugas polis
KOTA TINGGI - Tiga ahli Geng Pecah Rumah Che Wan termasuk ketuanya dihadapkan ke Mahkamah Majisteret Kota Tinggi, di sini pada Khamis atas pertuduhan menceroboh, kurungan salah dan menghalang penjawat awam tahun lalu.
Ketua Geng Che Wan, Mohd Saifuan Mohd Noor, 33, dan konconya, Mohd Ikhwan Mohd Sharif, 33, serta Muhamad Badry Muhamad Azami, 23, mengaku bersalah atas semua pertuduhan yang dibacakan secara berasingan di hadapan Majistret Fitri Mokhtar.
Sementara itu, dalam mahkamah sama, Ketua Geng Che Wan, Mohd Saifuan didakwa atas tiga pertuduhan berasingan iaitu khianat, ceroboh bilik hotel dan menghalang tugas polis pada 21 dan 22 Disember tahun lalu.
Mengikut kertas pertuduhan, Mohd Saifuan yang cedera pada kaki sebelah kanan didakwa melakukan khianat dengan menendang pintu gelongsor kaca sehingga pecah yang menyebabkan kerugian RM500 kepada pemilik hotel.
Sementara itu, pertuduhan kedua, tertuduh turut didakwa melakukan pencerobohan jenayah masuk ke bilik hotel tanpa kebenaran dengan niat di hotel yang sama, lebih kurang jam 10.26 pagi pada 21 Disember tahun lalu.
Bagi pertuduhan ketiga, tertuduh didakwa menghalang tugas pihak polis ketika ditahan di dalam lubang salur air paip di belakang kediaman Laman Desaru, lebih kurang jam 10 pagi pada 22 Disember tahun lalu.
Mahkamah kemudian menetapkan hukuman, setahun penjara dari tarikh sabitan untuk pertuduhan pertama dan kedua manakala bagi pertuduhan ketiga mahkamah menetapkan penjara 10 bulan dijalankan selepas hukuman pertuduhan pertama dan kedua selesai.
Sementara itu, Mohd Ikhwan dan Muhamad Badry pula masing-masing berdepan tiga pertuduhan iaitu menceroboh inap desa di bandar Penawar, sengaja mengurung lima sekeluarga yang juga penyewa di inap desa berkenaan dan menghalang tugas polis dalam serbuan.
Mahkamah menjatuhkan hukuman penjara 10 bulan dari tarikh sabitan bagi pertuduhan pertama, hukuman penjara setahun dari tarikh sabitan serta denda RM1,000 jika gagal sebulan penjara bagi pertuduhan kedua dan penjara 10 bulan dijalankan (hukuman pertuduhan ketiga) selepas hukuman pertama dan kedua selesai berjalan.
Kesalahan itu dilakukan lebih kurang jam 11 pagi di unit inap desa sebuah hotel di Desaru, Bandar Penawar pada 21 Disember tahun lalu.
Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Khairuddin Khalid, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Pendakwaan dijalankan di bawah Seksyen 448 Kanun Keseksaan, Seksyen 342 Kanun Keseksaan dan Seksyen 184 Kanun Keseksaan.
Sementara itu, Ketua Polis daerah Kota Tinggi, Superitenden Hussin Zamora berkata, penahanan geng terbabit berjaya menyelesaikan 16 kes pecah rumah yang berlaku di Johor, Pahang, Kelantan dan Kedah.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!