Pemandu treler direman langgar pasangan OKU
SHAH ALAM - Seorang pemandu treler yang melanggar sepasang suami isteri orang kurang upaya (OKU) dalam sekatan jalan raya (SJR) di Persiaran Jubli Perak, Seksyen 21 dekat sini direman selama dua hari.
Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd Iqbal Ibrahim berkata, reman lelaki tempatan berusia 31 tahun itu bermula Khamis.
"Masalah brek dipercayai punca pemandu treler itu hilang kawalan lalu melanggar pasangan OKU berusia 40-an yang menunggang motosikal ketika sedang diperiksa petugas operasi di sebelah kiri jalan.
"Kemalangan itu mengakibatkan dua mangsa itu cedera dan menerima rawatan awal oleh pihak ambulans sebelum dikejarkan ke Hospital Shah Alam," katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah Shah Alam di sini pada Khamis.
Jelas beliau, pelaksanaan SJR itu didapati mengikuti prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan.
Kes disiasat mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan, Seksyen 26(2) Akta Polis 1967 dan Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Pada Selasa, kejadian kira-kira jam 11.40 malam itu berlaku ketika anggota Balai Polis Jelutong membuat pemeriksaan ke atas pasangan OKU yang menunggang Honda RSX.
Lelaki yang memandu treler dari arah Pelabuhan Klang menuju Batu Tiga itu kemudian melanggar mangsa sehingga cedera di kaki, pinggang dan leher.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!