Gangguan air: Juruteknik cipta tangki transit elak angkut air
BESUT - Idea kreatif seorang juruteknik menggunakan kemahiran membaiki mesin telah berjaya mencipta tangki transit bagi mengatasi masalah gangguan air di kediamannya di Taman Koperat Putera, Bukit Keluang dekat sini.
Ahmad Anuar Yunus, 41, berkata, idea tersebut tercetus apabila terpaksa berulang alik untuk mengangkut air dari tangki statik disediakan di luar rumah susulan bekalan air terjejas yang sudah berlarutan lebih dua minggu.
Menurutnya, kawasan Bukit Keluang merupakan antara lokasi yang mengalami bekalan air terjejas teruk selepas insiden kebocoran paip air di dasar sungai Besut pada akhir tahun lalu.
"Apabila mengalami gangguan air, kami sekeluarga terpaksa menggunakan semua baldi dan tong yang ada untuk menyimpan air sehingga ia memakan ruang dalam rumah.
"Kami juga terpaksa mengangkut air yang diperoleh dari tangki statik disediakan dari luar rumah setiap kali untuk memasak dan mandi bagi memenuhi keperluan isi rumah.
"Namun dengan adanya ciptaan tangki ini, saya hanya perlu memasukkan terus air yang diperoleh dari tangki statik Syarikat Air Terengganu (SATU) serta pihak badan bukan kerajaan (NGO) ke tangki transit sebelum disalurkan ke tangki utama rumah bagi memastikan ia dapat disimpan lebih lama tanpa perlu risau tentang soal kebersihan air," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita di Taman Koperat Putera, Bukit Keluang di sini pada Khamis.
Mengulas lanjut, Ahmad Anuar menyatakan dia mengeluarkan modal sendiri berjumlah hampir RM400 bagi membeli paip paip Polyvinyl Chloride (PVC), mesin pam air serta barangan terpakai yang lain bagi menghasilkan tangki transit tersebut.
Ahmad Anuar berkata, dia tidak kisah mengeluarkan wang sendiri untuk menghasilkan tangki tersebut asalkan ia dapat melancarkan urusan harian keluarganya.
"Saya juga berharap isu gangguan air yang dihadapi penduduk di Besut sejak sekian lama dapat diatasi dengan segera.
"Ini kerana orang ramai tidak lagi perlu bergantung dengan bekalan air yang dibekalkan di tangki-tangki statik sekali gus memudahkan urusan kami semua," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!