Ikrar bawa perabot rupanya seludup rokok dan arak

Norlela bersama pegawai Jabatan Kastam Diraja Malaysia(JKDM) menunjukkan antara rokok serta minuman keras yang dirampas.Foto Sinar Harian-ROSLI TALIB
Norlela bersama pegawai Jabatan Kastam Diraja Malaysia(JKDM) menunjukkan antara rokok serta minuman keras yang dirampas.Foto Sinar Harian-ROSLI TALIB
A
A
A

KLANG - Taktik sindiket penyeludupan rokok dan arak mengikrar barangan dibawa sebagai peralatan perayaan serta perabot terbongkar menerusi pemeriksaan melibatkan enam kontena dan satu premis di Pelabuhan Utara serta Batu Caves pada 14 Disember hingga 8 Januari lalu.

Sindiket dipercayai bertindak demikian untuk mengaburi mata pihak berkuasa bagi mengelakkan kegiatan penyeludupan dikesan.

Penolong Ketua Pengarah Kastam Zon Tengah Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), Norlela Ismail berkata, kesemua kontena yang dirampas itu dipercayai dari China untuk pasaran di negara ini.

Norlela Ismail .Foto Sinar Harian-ROSLI TALIB
Norlela Ismail .Foto Sinar Harian-ROSLI TALIB

"Risikan dijalankan membawa kepada rampasan sebanyak 12 juta batang rokok putih dan 6,365 liter minuman keras bernilai RM9 juta.

"Siasatan mendapati kesemua rokok serta minuman keras yang dirampas diikrarkan sebagai barangan perayaan selain perabot dan pakaian," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar di pejabat JKDM Wilayah Tengah di Pelabuhan Klang di sini pada Khamis.

Katanya, menerusi serbuan di Batu Caves, pihaknya merampas sejumlah 90,400 batang rokok putih bernilai RM67,000 dalam sebuah kenderaan dan rumah.

Artikel Berkaitan:

"Operasi dijalankan ini berjaya memberkas seorang wanita warga tempatan dipercayai terlibat dalam rampasan berkaitan.

"Kesemua rokok putih ini dipercayai disimpan sebelum dijual untuk pasaran tempatan," katanya.

Tambahnya, rampasan melibatkan minuman keras ditemukan dalam kontena selepas menunjukkan imej meragukan.

"Penemuan minuman keras ini hasil daripada imbasan mendapati ia tidak sama seperti barangan yang diikrarkan.

"Hasil pemeriksaan menemui minuman keras yang dicampur dengan barang dagangan lain dan tidak mempunyai permit import," katanya.

Norlela berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 135(1)(a) Akta Kastam 1967 dan Seksyen 135 (1)(d) Akta Kastam 1967.

"Kerjasama orang ramai diperlukan dalam bersama membanteras kegiatan penyeludupan rokok dan minuman keras.

"Sebarang maklumat boleh disalurkan dengan menghubungi Talian Bebas Tol Kastam 1-800-88-8855, identiti setiap pemberi maklumat dirahsiakan," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!