Tiga lelaki ditahan guna kad pengenalan palsu

Pegawai dan anggota JPN Putrajaya menahan dan memeriksa dokumen peribadi seorang individu dalam satu operasi yang dijalankan di sekitar Pulau Indah hari ini. Foto Bernama
Pegawai dan anggota JPN Putrajaya menahan dan memeriksa dokumen peribadi seorang individu dalam satu operasi yang dijalankan di sekitar Pulau Indah hari ini. Foto Bernama
A
A
A

KLANG - Tiga lelaki ditahan dalam satu operasi di beberapa lokasi sekitar Pulau Indah, Pelabuhan Klang awal pagi tadi kerana disyaki bekerja dengan menggunakan kad pengenalan palsu.

Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dalam kenyataan memaklumkan, operasi itu bertujuan mengesan warga asing yang memalsukan dan menyalahgunakan kad pengenalan.

Operasi hingga 5 pagi tadi yang melibatkan Jabatan Imigresen (JIM) Putrajaya dan turut disertai pihak media, memeriksa 12 rumah di tujuh lokasi.

"Kesemua yang ditahan dibawa ke JPN Putrajaya untuk siasatan lanjut kerana tidak mempunyai dokumen pengenalan diri serta memegang kad Persatuan Bajau,” menurut kenyataan itu.

Pegawai dan anggota JPN Putrajaya memeriksa dokumen peribadi seorang individu yang ditahan dalam satu operasi yang dijalankan di sekitar Pulau Indah hari ini. Foto Bernama
Pegawai dan anggota JPN Putrajaya memeriksa dokumen peribadi seorang individu yang ditahan dalam satu operasi yang dijalankan di sekitar Pulau Indah hari ini. Foto Bernama

JPN memaklumkan, ketiga-tiganya bekerja sebagai jurukimpal dengan seorang daripadanya dipercayai warga Filipina manakala dua lagi mengaku berasal dari Sabah.

"Operasi melibatkan 60 anggota JPN dan 23 anggota JIM Putrajaya itu juga menemukan sejumlah salinan kad pengenalan dan kad Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB),” menurut JPN.

Sehubungan itu, JPN mengingatkan pihak majikan untuk memastikan mengambil pekerja yang mempunyai dokumen pengenalan diri yang sah. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!