Konsert Siti Nurhaliza tetap diteruskan demi kumpul dana Palestin
KONSERT Sebuah Epitome: Saya Siti Nurhaliza anjuran Yayasan Nurjiwa yang dijadualkan berlangsung pada 9 Mac depan di Axiata Arena akan tetap diteruskan.
Pengasas Yayasan Nurjiwa, Datuk Seri Khalid Mohamad Jiwa dalam satu kenyataan pada Khamis berkata, pihaknya dengan penuh keinsafan dan berlapang dada menerima gesaan dan teguran Mufti Pulang Pinang, Datuk Seri Wan Salim Wan Mohd Noor agar konsert tersebut ditunda ke satu tarikh lain.
Bagaimanapun beliau berkata, setelah mengambil kira matlamat dan objektif utama penganjuran konsert tersebut, maka Yayasan Nurjiwa dan Siti Nurhaliza secara konsesus untuk meneruskannya.
"Izinkan kami untuk sekali lagi menjelaskan konsert Sebuah Epitome: Saya Siti Nurhaliza bukan dianjurkan atas kepentingan perniagaan dan keuntungan. Yayasan Nurjiwa adalah sebuah badan amal yang ditubuhkan sejak 2006.
"Yayasan Nurjiwa dan Siti Nurhaliza telah sering menyebut tujuan konsert ini adalah untuk mengutip dana bagi menampung lima kluster kerja-kerja kebajikan.
"Lima kluster yang digariskan adalah kebajikan, kemanusiaan, keagamaan, pendidikan dan bantuan khas Palestin. Kesemua kluster berkenaan menjadi keutamaan Yayasan Nurjiwa dan bagi meneruskan kerja-kerja kebajikan itu, ia memerlukan dana yang mencukupi," ujarnya.
Tambah Khalid, segala hasil kutipan tiket daripada pementasan konsert tersebut akan disalurkan kelima-lima kluster berkenaan.
"Dalam masa sama, Yayasan Nurjiwa akan meneruskan kerja-kerja kebajikan lain seperti tradisinya setiap kali kehadiran bulan Ramadan, Syawal dengan menghulurkan bantuan kepada golongan yang memerlukan.
"Inilah matlamat yang kami ingin lakukan memandangkan selepas konsert, bulan Ramadan dan Syawal adalah bulan aktif bagi aktiviti amal yang telah kami lakukan sebelum ini.
"Justeru, matlamat penganjuran konsert Sebuah Epitome: Saya Siti Nurhaliza ini sangat jelas untuk berkongsi rezeki dan sekali gus amat diyakini akan mengurangkan beban penderitaan sesetengah golongan termasuk saudara kita di Palestin. Kami juga mempunyai program khas sedekah Nur Muhammad yang menyalurkan bantuan kepada golongan asnaf dan kurang berkemampuan," jelasnya lagi.
Khalid berkata, penundaan konsert itu akan memberikan implikasi yang besar kepada banyak pihak khususnya di pihak produksi serta Perbadanan Stadium Nasional.
Ujarnya, jika mahu diawalkan pula, sudah tentu tiada keupayaan memandangkan tiada slot kosong yang boleh diberikan Perbadanan Stadium Nasional.
"Bahkan, apa yang kami gusarkan sekiranya penundaan konsert dibuat, maka dana yang sewajarnya tidak dapat disalurkan dalam kadar segera kepada golongan yang sudah dikenal pasti sebagai penerima terutamanya mangsa perang di Palestin.
"Komitmen kami kepada mangsa-mangsa perang di Palestin perlu diteruskan sejak kami memulakannya pada Oktober lalu. Terlewat sehari dua saja boleh mengundang malapetaka lain buat mereka. Oleh itu, Yayasan Nurjiwa berpendapat, ada baiknya konsert diteruskan demi untuk mencari dana," kata Khalid.
Dalam masa sama, Yayasan Nurjiwa sekali lagi merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang tidak pernah putus memberikan sokongan kepada segala kerja-kerja kebajikan dan kemanusiaan yang mereka usahakan.
"Semoga ALLAH SWT merahmati segala kebaikan anda semua," katanya.
Terdahulu, Mufti Pulau Pinang menasihatkan agar Siti Nurhaliza menunda Konsert Sebuah Epitom: Saya Siti Nurhaliza yang dijadualkan berlangsung pada 9 Mac ini kepada satu tarikh lain.
Dalam satu saranan, Wan Salim berkata, mengadakan aktiviti hiburan menjelang bulan Ramadan seolah-olah melalaikan umat Islam daripada mengingati ALLAH.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!