TTTS jadi mercu tanda pendidikan, pelancongan di Temerloh

Al-Sultan Abdullah (kiri) ketika mendengar penerangan mengenai TTTS
Al-Sultan Abdullah (kiri) ketika mendengar penerangan mengenai TTTS
A
A
A

TEMERLOH - Temerloh Titik Tengah Semenanjung (TTTS) yang terletak di Kampung Paya Siput, Lanchang dekat sini boleh dijadikan sebagai salah satu lokasi tarikan pelancongan di Pahang.

Yang di-Pertuan Agong (YDPA) Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bertitah, TTTS juga mampu menjadi mercu tanda untuk pendidikan selain tarikan pelancongan yang ada di Temerloh.

“Ia adalah mercu tanda bersifat pendidikan yang semua rakyat kena tahu di mana Titik Tengah Semenanjung memang berada di sini, sama seperti di United Kingdom iaitu Greenwich Mean Time (GMT) London yang menjadi sebahagian daripada pendidikan.

"Kita boleh bawa penuntut-penuntut, ibu bapa ke sini dan secara tidak langsung boleh menarik kehadiran pelancong ke sini," titah baginda.

Al-Sultan Abdullah bertitah demikian semasa mencemar duli menyempurnakan Majlis Perasmian TTTS pada Khamis dan meluangkan masa kira-kira sejam melawat tarikan-tarikan yang ada di TTTS.

Al-Sultan Abdullah melihat tayangan video mengenai TTTS sempena perasmian TTTS di sini pada Khamis
Al-Sultan Abdullah melihat tayangan video mengenai TTTS sempena perasmian TTTS di sini pada Khamis

Turut hadir, Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail, Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang, Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsuddin dan Exco Perpaduan, Pelancongan dan Kebudayaan Negeri Pahang, Leong Yu Man.

Seri Paduka Baginda turut menyifatkan TTTS mampu menjadi antara produk pelancongan di daerah itu selain tarikan Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan, Kuala Gandah dan Deerland Lanchang.

Artikel Berkaitan:

“Datanglah ke sini menikmati kecantikan pemandangan. Ada bukit di belakang, ada kolam...harap ada ikan nanti. Dulu pada 2013, pernah berlaku banjir, jadi saya harap tiada lagi pada masa akan datang dan JPS boleh diperbesarkan lagi longkang di sini," titah baginda.

Mercu randa TTTS ini dibangunkan berhampiran monumen yang dibina oleh Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (JUPEM) di Kampung Paya Siput untuk menandakan sifar darjah (zero degree) atau dengan kata lain, Titik Tengah Semenanjung Malaysia.

Pembangunan TTTS mula dilaksanakan oleh Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) pada tahun 2018 dan berjaya disiapkan pada 22 Ogos 2019 sebelum diserahkan kepada Majlis Perbandaran Temerloh (MPT) pada Disember 2019 serta dibuka secara rasmi kepada orang awam pada 15 Julai 2020.

TTTS dibangunkan menggunakan konsep hentian sebelah yang merangkumi plaza komersial, tandas, wakaf, surau, tempat persinggahan bas pelancong, kawasan rekreasi dan taman permainan kanak-kanak.

Al-Sultan Abdullah (enam dari kanan)bersama Wan Rosdy (tujuh dari kiri) bergambar kenangan di hadapan Monumen di TTTS
Al-Sultan Abdullah (enam dari kanan)bersama Wan Rosdy (tujuh dari kiri) bergambar kenangan di hadapan Monumen di TTTS

Ia juga turut menjadi sebahagian destinasi laluan berbasikal dan bermotor serta berperanan sebagai pusat maklumat pelancongan sekali gus memberi kesan limpahan ekonomi kepada penduduk setempat dengan membuka peluang pekerjaan serta keusahawanan khususnya dalam sektor pelancongan.

Monumen ikonik ini menerapkan seni bina simbolik yang melambangkan Rukun Iman dan Rukun Islam.

Tapak monumen juga dilengkapi penunjuk arah kiblat dan memaparkan jarak ibu negeri bagi negeri-negeri di Malaysia dari Titik Tengah Semenanjung.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!