Dua beradik hilang: Pemeriksaan hospital dapati tiada kesan liwat
KUALA LUMPUR - Seorang individu diberkas dipercayai mencabul remaja lelaki di sebuah hotel di Jalan Sultan dekat sini pada 12 Januari lalu.
Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Allaudeen Abdul Majid berkata, tangkapan dijalankan pihaknya susulan laporan dibuat mangsa berumur 16 tahun itu.
"Maklumat yang diperoleh kemudiannya membawa kepada penangkapan lelaki berumur 42 tahun itu oleh sepasukan anggota polis dari Bahagian D11, Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ), Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur.
"Suspek diberkas di hadapan hotel berkenaan dan direman untuk siasatan lanjut berkaitan kes terbabit," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.
Menurutnya, kes disiasat di bawah Seksyen 377C Kanun Keseksaan dan Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017.
"Soal siasat yang dijalankan mendapati suspek telah melakukan amang seksual fizikal terhadap mangsa dengan cara mencabul mangsa.
"Bagaimanapun hasil pemeriksaan hospital mengesahkan tiada kecederaan fizikal dan tiada kejadian liwat berlaku," katanya.
Sinar Harian pada Khamis melaporkan, seorang lagi remaja yang dilaporkan hilang selepas keluar dari kediaman mereka di Taman Bernam Jaya, di sini sejak 1 Januari lalu, dijumpai telah ditemui selamat.
Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintenden Ahmad Faizal Tahrim berkata, remaja berusia 15 tahun itu dibawa oleh seorang lelaki ke Balai Polis Hulu Bernam pada jam 10.48 pagi.
Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan seorang daripada dua beradik lelaki yang dilaporkan hilang pada 1 Januari lalu mendakwa dikurung dalam sebuah motel di Jalan Petaling, Kuala Lumpur oleh individu tidak dikenali.
Malah, remaja berusia 16 tahun yang berjaya melarikan diri itu mendakwa selama dikurung bersama adiknya selain diperlakukan tidak baik sebelum dipisahkan pada 9 Januari lalu.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!