Terbuka India: Tiga wakil negara galas cabaran suku akhir
BEREGU utama negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik menepati ramalan apabila meneruskan perjuangan ke suku akhir Kejohanan Badminton Terbuka India 2024 pada Khamis.
Pasangan nombor empat dunia itu menumpaskan Kenya Mitsuhashi-Hiroki Okamura, 21-9, 19-21, 21-14 dalam masa 62 minit.
Turut mengiringi Aaron-Wooi Yik ke saingan suku akhir ialah beregu campuran profesional, Goh Soon Huat-Shevon Lai yang menumpaskan pasangan China, Cheng Xiang-Zhang Chi 26-24, 21-10.
Mereka akan menentang pilihan kelima kejohanan dari China, Jiang Zhen Bang-Wei Ya Xin dalam pertembungan suku akhir pada Jumaat.
Pemain perseorangan utama, Lee Zii Jia juga meneruskan momentum positif apabila membenam cabaran pemain Indonesia, Jonatan Christie 21-15, 21-13.
Menanti Zii Jia dalam aksi suku akhir pada Jumaat ialah pemenang antara dua pemain Jepun, Kodai Naraoka yang menghuni ranking kedua dunia atau Takuma Obayashi.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!