Buat keputusan tepat pakaian ke sekolah

Sehingga kini masih tiada kata putus daripada KPM berhubung isu pakaian seragam sekolah. Foto hiasan
Sehingga kini masih tiada kata putus daripada KPM berhubung isu pakaian seragam sekolah. Foto hiasan
A
A
A

SESI persekolahan 2024/2025 bakal bermula Mac ini, namun sehingga kini masih tiada kata putus daripada Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) berhubung isu pakaian seragam sekolah.

Ibu bapa tertanya-tanya mengenai ketetapan dan garis panduan berhubung pemakaian pelajar ke sekolah bagi sesi akan datang memandangkan mereka perlu membuat persediaan dan keperluan kewangan di kala Ramadan juga bakal kunjung tiba pada bulan yang sama.

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, setakat ini, KPM belum membuat sebarang keputusan lagi berhubung garis panduan itu kerana pihaknya masih mendengar sumbang saran daripada pihak berkepentingan.

Katanya, KPM sedang mengumpul pandangan dan input daripada semua pihak berhubung garis panduan pemakaian murid ke sekolah, sama ada tidak perlu

Bila masih tiada ketetapan, ia menimbulkan kekeliruan kepada ibu bapa dalam membuat persediaan pakaian sekolah anak-anak.

Ketetapan itu wajar diumumkan awal agar ibu bapa mampu menyediakan kelengkapan pakaian seragam sekolah untuk anak-anak tanpa sebarang masalah berbangkit.

Bagi penulis, kembalikan pemakaian seragam sekolah atau tidak ada pro dan kontranya kerana walaupun diberi kelonggaran memakai pakaian sukan ke sekolah, ada sekolah yang masih mengekalkan peraturan murid-murid berpakaian seragam ketika peperiksaan berlangsung.

Tidak dinafikan pakaian seragam sekolah ini sudah menjadi sebahagian tradisi sistem persekolahan yang dikuatkuasakan sejak tahun 70-an lagi yang antara lain bertujuan menggalakkan rasa kesaksamaan dalam kalangan murid dan menerapkan nilai disiplin.

Artikel Berkaitan:

Namun, apabila diberi kelonggaran susulan cuaca panas terlampau melanda negara bermula pada Mei tahun lalu, ramai ibu bapa selesa memilih baju sukan untuk anak-anak pakai ke sekolah atas pelbagai faktor.

Jika diteliti, KPM sudah memberi kelonggaran serupa pada Oktober 2021 sebaik sahaja sesi persekolahan dibuka selepas hampir dua tahun ditutup akibat wabak Covid-19.

Susulan itu, murid semakin selesa untuk tidak lagi mengenakan pakaian seragam sebaliknya lebih suka memakai pakaian sukan ke sekolah termasuk anak-anak penulis.

Bagaimanapun, seandainya masih diberi kelonggaran untuk berpakaian sukan, penulis cadangkan biar lah pakaian sukannya seragam, nampak kekemasan semua murid.

Selain itu, setiap kali menjelang penggal baharu persekolahan ibu bapa perlu menyediakan bajet sekolah untuk pelbagai kelengkapan merangkumi pakaian seragam, sukan, sekolah agama dan ko-kurikulum.

Apabila sesi persekolahan dibuka berdekatan dengan kehadiran Ramadan dan Syawal, ibu bapa kena membuat perkiraan perbelanjaan yang berhemah untuk keluarga.

Mungkin dengan bayaran Bantuan Awal Persekolahan (BAP) sebanyak RM150 kepada setiap murid yang mula disalurkan Januari ini mampu memberikan kelegaan.

Difahamkan sudah ada sekolah yang menyalurkan bantuan tersebut kepada pelajar, lega sedikit ibu bapa untuk mengatur belanja keluarga.

Kerana itu, andai masih diberi kelonggaran anak-anak berpakaian sukan pada sesi ini, dengan bantuan tersebut ibu bapa boleh merencanakan keperluan persekolahan lain seperti buku dan sebagainya disamping berbelanjaan menghadapi Ramadan dan Syawal.

Namun, jika pakaian seragam sekolah dikembalikan, mahu tidak mahu, ibu bapa kena mengutamakan belanja untuk membeli kelengkapan tersebut kerana penulis pasti sudah tidak ada pakaian seragam sebelum ini yang boleh disarung semula.

Dengan kos sara hidup yang semakin mencengkam rakyat hari ini, sewajarnya apa jua keputusan KPM nanti, penulis berharap biarkan ianya situasi menang-menang yang tidak membebankan ibu bapa dalam masa yang sama memastikan anak-anak sentiasa mematuhi peraturan sekolah.

Kita mahu bukan sahaja pelajar ceria ke sekolah tetapi dalam masa yang sama bersahsiah cemerlang dan berdisiplin tinggi sama ada berpakaian seragam atau sukan ketika melangkah masuk pintu pagar sekolah.

* Wan Rosida Wan Hamad ialah Editor Pengisian Sinar Online

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!