Dilema 'blackout' 17 jam
GERAKAN boikot oleh penghantar p-hailing sebuah syarikat penyedia perkhidmatan dijangka berlangsung selama 17 jam hari ini susulan penurunan kadar harga penghantaran.
Ia menjadi kemuncak kepada isu yang kembali disuarakan sejak beberapa hari kebelakangan ini.
Kempen blackout itu diuar-uar bermula jam 7 pagi hingga 12 tengah malam sebagai tanda protes, dan desakan agar suara mereka diberi perhatian.
Semalam, Persatuan Perpaduan Rakan Penghantar Malaysia (PPRPM) menggesa syarikat penyedia perkhidmatan p-hailing, GrabFood Malaysia (GrabFood) supaya mengembalikan semula kadar bayaran upah penunggang kepada bayaran asal secara serta-merta.
Ia berikutan kadar bayaran upah yang diberikan ketika ini didakwa sangat rendah selain pengiraannya juga tidak jelas.
Menurut PPRPM, penurunan kadar bayaran upah itu juga disifatkan sebagai isu berulang dan menjadi dilema buat penunggang p-hailing.
Oleh itu, tidak hairanlah wujud perdebatan sesama penghantar p-hailing tentang kewajaran mereka menyokong gerakan boikot tersebut kerana bimbang akan menjejaskan status pekerjaan dan mata pencarian.
Walaupun pernah dijanjikan mengenai pertimbangan semula kadar bayaran kepada jumlah yang lebih munasabah, ia ibarat sekadar tinggal harapan.
Dilema berpanjangan ini juga menyebabkan terdapat segelintir penghantar yang bertindak mengikut emosi dengan menjadikan pelanggan sebagai tempat 'balas dendam' apabila enggan membuat penghantaran 'door to door' seperti yang dijanjikan dalam perkhidmatan.
Tindakan tersebut bukan hanya menganiaya pelanggan yang benar-benar mengalami kesulitan, tetapi juga dikatakan merisikokan pekerjaan penghantar itu sendiri.
Sehubungan itu, penting untuk kerajaan memastikan apa yang menjadi keluhan penghantar p-hailing ini tidak berulang.
Satu jaminan yang lebih meyakinkan perlu diberi sebagai penyelesaian bersifat jangka masa panjang demi kebaikan semua pihak.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!