Grab pertahan struktur tambang, bonus baharu
SHAH ALAM - Syarikat perkhidmatan p-hailing, Grab Malaysia menjelaskan struktur tambang penghantaran dan bonus baharu diperkenalkan bertujuan memastikan rakan kongsi penghantar yang menjalankan perkhidmatan di syarikat berkenaan akan dibayar secara adil.
Grab Malaysia dalam kenyataan berkata, pembaharuan itu berkuat kuasa pada Selasa lalu akan memberikan manfaat kepada rakan kongsi penghantar yang bekerja keras bagi memenuhi pesanan pengguna.
“Ia bagi memastikan tempahan yang memerlukan lebih banyak masa dan usaha akan dibayar dengan lebih adil.
“Tindakan itu merujuk kepada maklum balas terkini rakan kongsi penghantar mengenai perkara tersebut,” katanya pada Khamis.
Tambah Grab Malaysia, jaminan diberikan untuk menaikkan dan memberikan pendapatan atau bayaran bonus kepada semua rakan kongsi penghantar.
Ujarnya, pelaksanaan tersebut bagi memastikan mereka mempunyai aliran peluang pendapatan yang lebih mantap.
“Penghantar akan menerima pampasan bagi setiap tempahan yang telah diselesaikan.
“Sebagai contoh, pesanan yang melibatkan masa menunggu lebih lama di restoran dan pengambilan makanan jarak jauh,” tambahnya.
Menurut syarikat itu, penambahbaikan dilaksanakan bagi memaksimumkan pendapatan termasuk memastikan ketibaan penghantar makanan di restoran lebih tepat apabila pesanan sudah siap.
Ujarnya, kemudahan heatmaps permintaan pengguna juga ditunjukkan dalam aplikasi berdasarkan data masa nyata untuk mengenal pasti lokasi permintaan tinggi serta menerima lebih banyak pesanan semasa waktu puncak.
“Kami menaikkan bonus penghantaran jauh sebanyak 30 peratus. Mereka akan diberi pampasan untuk perkhidmatan itu dengan penekanan yang lebih besar pada tambang puncak, bonus prestasi dan mingguan.
“Bagi masa menunggu pula, kami akui keperluan mereka untuk menguruskan masa dengan baik. Bagi imbangi tempoh itu, kami tingkatkan pampasan masa menunggu,” jelasnya.
Grab Malaysia turut menjelaskan penghantar makanan akan memperoleh lebih banyak pekerjaan dalam pelbagai perkhidmatan, termasuk GrabExpress dan GrabMart.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!