Piala Asia 2023: Terap mentaliti menang

Suasana ceria dalam kalangan pemain menjelang aksi menentang Bahrain di Doha pada Sabtu. Foto Facebook FAM
Suasana ceria dalam kalangan pemain menjelang aksi menentang Bahrain di Doha pada Sabtu. Foto Facebook FAM
A
A
A

SKUAD bola sepak negara masih mempunyai peluang untuk melakar keputusan positif dalam aksi getir hidup mati Kumpulan E Piala Asia Qatar 2023 menentang Bahrain di Doha pada Sabtu.

Legenda bola sepak negara, Datuk Jamal Nasir Ismail berkata, pada pemain Harimau Malaya perlu memiliki tekad yang kuat untuk menang dan semangat melawan yang jitu untuk meraih kemenangan dalam perlawanan itu.

Beliau berkata, selain taktikal yang ampuh, mental dan fizikal para pemain juga perlu mantap kerana senario bola sepak moden sudah berubah kepada tekanan tinggi dan kepantasan.

“Apa yang penting sematkan dalam hati berjuang habis-habisan bukan bermati-matian. Jangan hilang fokus dan ikut game play. Taktikal bola sepak dunia sudah berubah kepada high pressing dan fast football.

Jamal Nasir. Foto Agensi
Jamal Nasir. Foto Agensi

“Mental dan fizikal kena kuat. Beri peluang kepada pemain buktikan kemampuan mereka untuk bersaing sengit di pentas besar ini. Terap winning mentality,” katanya kepada Sukan Sinar pada Khamis.

Skuad bimbingan Kim Pan-gon akan menentang Bahrain di Stadium Jassim Bin Hamad, Doha dengan sepak mula pada jam 10.30 malam Sabtu.

Ia disusuli dengan aksi terakhir kumpulan menentang skuad Piala Dunia, Korea Selatan di Stadium Al Janoub pada Khamis.

Artikel Berkaitan:

Jamal menjelaskan skuad Harimau Malaya perlu lebih berhati-hati dengan cuba mengawal rentak permainan untuk tempoh 20 minit pertama bagi mengelak gawang dibocori lebih awal.

Beliau berkata, para pemain juga perlu cepat menyesuaikan diri dengan corak permainan dan suasana perlawanan, selain menggelakkan daripada kehilangan bola dengan terlalu cepat kerana ia boleh mengundang bahaya dan memenatkan mereka.

Para pemain giat menjalani latihan menjelang aksi menentang Bahrain di Doha pada Sabtu. Foto Facebook FAM
Para pemain giat menjalani latihan menjelang aksi menentang Bahrain di Doha pada Sabtu. Foto Facebook FAM

“Tenang dan ikut game play yang diatur oleh jurulatih. Elak buat kesilapan mudah kerana ia buka peluang kepada lawan.

“Mantapkan persefahaman bergerak dalam satu pasukan. Bina serangan dengan tersusun menerusi short pass. Apabila diserang pihak lawan, pemain perlu pantas menutup ruang di benteng,” katanya.

Aksi menentang Bahrain menjadi penentuan peluang Malaysia untuk mara ke pusingan 16 terbaik setelah skuad Harimau Malaya dibelasah Jordan 0-4 dalam aksi pertama Selasa lalu.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!