Lepas Covid, Penyakit X pula
BAGI individu yang terkesan dengan pandemik Covid-19 sebelum ini seperti melalui pengalaman sesak nafas hingga ditidurkan di wad ICU, kehilangan orang tersayang, hilang pekerjaan dan sebagainya pasti berasa gusar dengan kenyataan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengenai ancaman penyakit baharu yang dinamakan Penyakit X.
Seperti dilaporkan, Ketua Pengarah WHO, Dr Tedros Adhanom Ghebreyesus menyeru semua negara di dunia untuk bersedia menghadapi Penyakit X yang lebih berbahaya daripada Covid.
Bagi pihak kerajaan, mereka sudah pasti bersedia dari sudut fasiliti kesihatan, pelan kontigensi dan teknologi berkaitan memandangkan pandemik yang dihadapi sebelum ini sudah memberikan pengalaman bagaimana menguruskan penyakit yang tidak terjangka itu.
Bagi rakyat marhaen, kita hanya mampu mengikut apa sahaja dasar yang ditetapkan kerajaan memandangkan kemampuan yang terhad seiring status kita sebagai rakyat biasa.
Kita juga tidak mampu untuk membina kubu bawah tanah untuk mengasingkan diri tatkala kehadiran musibah seperti Covid memandangkan kewangan golongan bawahan sentiasa terhad dari segala sudut.
Jadi apa persediaan yang rakyat biasa boleh lakukan untuk mengharungi penyakit dan wabak yang lebih mencabar pada masa depan?
Jawapannya sudah pasti ada pada batang tubuh kita sendiri iaitu secara bersungguh-sungguh sayang pada diri sendiri dengan menjaga kesihatan.
Walaupun ada yang pandang enteng, namun ia amat berguna ketika berhadapan dengan situasi pandemik. Badan yang sihat dapat mengurangkan risiko kita mudah dijangkiti penyakit.
Jaga pemakanan, sering lakukan senaman dan pemeriksaan kesihatan kerana ia penting sewaktu kita berada dalam situasi getir diancam penyakit yang sukar diduga kaedah serangannya.
Selebihnya kita serahkan kepada Tuhan sekalian alam kerana semuanya atas kehendak-Nya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!