Bas ekspres dua tingkat terbakar, 17 penumpang terselamat
TANJUNG MALIM - [DIKEMAS KINI] Seramai 17 penumpang terselamat dalam kebakaran sebuah bas ekpres di Kilometer 375.4 Lebuhraya Utara Selatan dekat Slim River di sini pada Jumaat.
Panggilan kejadian itu diterima Balai Bomba dan Penyelamat Slim River pada jam 5.19 pagi.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sayani Saidon berkata, ketika kejadian bas dua tingkat itu dalam perjalanan dari Johor menghala ke Perlis.
Menurutnya, semua penumpang terdiri daripada 14 lelaki dan tiga wanita bersama dua pemandu berjaya keluar dari kenderaan itu sebelum kebakaran merebak.
"Kebakaran telah melibatkan kemusnahan 80 peratus, bagaimanapun semua penumpang dan pemandu terselamat tanpa sebarang kecederaan," katanya.
Beliau berkata, kebakaran dipercayai bermula dari bahagian enjin yang terletak di bahagian belakang bas.
"Kebakaran berjaya dikawal pada jam 5.50 pagi.
"Operasi pemadaman yang turut dibantu Balai Bomba dan Penyelamat Tanjung Malim itu tamat jam 7.23 pagi," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!