Pelajar maahad tahfiz bercucuk tanam

Mohd Fahmi (kiri) bersama Meor Roslan (tengah) dan Nordin menunjukkan hasil tanaman timun yang diusahakan oleh Maahad Tahfiz dan Kemukjizatan Al-Quran, Ayer Jernih, di sini.
Mohd Fahmi (kiri) bersama Meor Roslan (tengah) dan Nordin menunjukkan hasil tanaman timun yang diusahakan oleh Maahad Tahfiz dan Kemukjizatan Al-Quran, Ayer Jernih, di sini.
A
A
A

GERIK - Menggunakan pendekatan yang terkandung di dalam al-Quran menjadi cetusan untuk Maahad Tahfiz dan Kemukjizatan Al-Quran, Ayer Jernih di sini menceburi bidang pertanian.

Pengerusi Maahad Tahfiz dan Kemukjizatan Al-Quran, Dr Mohd Fahmi Abdul Khir berkata, memandangkan aktiviti bercucuk tanam itu merupakan antara perkara yang disebut di dalam al-Quran dan hadis Nabi Muhammad SAW, pihaknya memulakan kegiatan itu pada penghujung tahun 2018 dengan kerjasama beberapa pihak termasuk Institut Agro Usahawan (IGROW).

Menurutnya, aktiviti tersebut juga sebagai menyahut saranan Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah yang mahu institusi agama Islam termasuk maahad tahfiz menceburi bidang pertanian.

"Jadi kita nampak satu lembaran baharu dalam bidang pertanian. Tambah pula kita ada satu elemen di sini, kita nak kaitkan dengan al-Quran.

"Sebab itu aspek-aspek falak tradisional berkaitan pertanian ini ada sebenarnya dari sudut hubungan dengan alam sebagai contoh hari apa sesuai menanam, apa kaitan dengan bulan dan sebagainya. Bila nak menanam itu, apa bacaan yang perlu dan sebagainya. Jadi banyak ayat-ayat al-Quran yang sentuh tentang pertanian. Ini menarik untuk kita kongsi dan praktis.

"Hasrat kami juga untuk melahirkan anak-anak yang ada satu kemahiran untuk mereka apabila tamat menghafal al-Quran bukan hanya menjadi pendakwah, imam, guru agama atau bidang profesional yang lain tapi mereka ada sedikit kemahiran dalam pertanian," katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui di Maahad Tahfiz dan Kemukjizatan Al-Quran, Ayer Jernih di sini pada Rabu.

Mohd Fahmi berkata, bermula dengan tanaman cili fertigasi, kini maahad tahfiz berkenaan menanam timun dan beberapa jenis tanaman lain pada masa akan datang.

Kawasan seluas kira-kira 2.4 hektar dicadang untuk dimajukan bagi program keusahawanan dan pertanian di Maahad Tahfiz dan Kemukjizatan Al-Quran, Ayer Jernih, di sini.
Kawasan seluas kira-kira 2.4 hektar dicadang untuk dimajukan bagi program keusahawanan dan pertanian di Maahad Tahfiz dan Kemukjizatan Al-Quran, Ayer Jernih, di sini.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, beberapa perancangan sedang diatur di atas tanah seluas 2.4 hektar di dalam kawasan maahad tahfiz tersebut bagi tujuan keusahawanan dan pertanian selain menjadi penggerak sosioekonomi masyarakat setempat.

Sementara itu, Orang Besar Jajahan (OBJ) Hulu Perak, Datuk Meor Roslan Meor Ahmad Rashidi menjelaskan aktiviti pertanian diusahakan maahad tahfiz berkenaan merupakan sebahagian daripada program Pertanian Insaniah yang dijalankan sejak empat bulan lalu di daerah Hulu Perak.

Menurutnya, usaha yang dilakukan oleh maahad tahfiz berkenaan diharap menjadi pencetus untuk dilaksanakan di hampir 100 masjid di daerah berkenaan selain institusi agama Islam yang lain sebagai menyahut titah Sultan Nazrin berhubung isu keterjaminan makanan.

Dalam pada itu, Pengerusi Eksekutif IGROW, Nordin Abdul Malek berkata, kejayaan melaksanakan program berkenaan merupakan usaha yang membanggakan dengan kerjasama serta komitmen pihak maahad tahfiz serta Meor Roslan.

"Saya sangat gembira kerana program insaniah ini telah membuktikan permulaan yang berjaya, berkesan dan cepat. Konsep insaniah itu berlaku apabila institusi seperti sekolah-sekolah tahfiz dan graduan tahfiz sendiri berjaya membangunkan sektor pertanian di Hulu Perak.

Mohd Fahmi (dua dari kiri) bersama Meor Roslan (dua dari kanan) dan Nordin (kanan) melihat hasil tanaman timun yang diusahakan oleh Maahad Tahfiz dan Kemukjizatan Al-Quran, Ayer Jernih, di sini.
Mohd Fahmi (dua dari kiri) bersama Meor Roslan (dua dari kanan) dan Nordin (kanan) melihat hasil tanaman timun yang diusahakan oleh Maahad Tahfiz dan Kemukjizatan Al-Quran, Ayer Jernih, di sini.

"Program ini juga tidak melibatkan agensi kerajaan dan ini memberi satu petunjuk bahawa kita boleh membangunkan sektor pertanian tanpa menunggu atau mengharapkan pelaksanaan di peringkat kerajaan," katanya.

Beliau bagaimanapun menyarankan pihak OBJ untuk mewujudkan jawatankuasa kerja bersama yang melibatkan agensi kerajaan berkaitan supaya proses pelaksanaan program di seluruh daerah berkenaan dapat dipercepatkan.

Dalam pada itu, Nordin turut yakin program berkenaan boleh dikembangkan daripada pengeluaran secara huluan kepada pertanian hiliran seperti memproses makanan, pelancongan dan pendidikan di daerah Hulu Perak.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!