Mayat lelaki tanpa identiti ditemui dalam parit
SABAK BERNAM - Mayat seorang lelaki tanpa identiti ditemui dalam parit di Jalan Tali Air 11 Pasir Panjang Sekinchan, di sini pada Khamis.
Ketua Polis Daerah Sabak Bernam, Superintenden Agus Salim Mohd Alias berkata, polis menerima maklumat mengenai penemuan mayat itu daripada orang awam pada jam 12.55 tengah hari.
Menurutnya, sepasukan polis dan Unit Forensik Polis Diraja Malaysia (PDRM) digerakkan ke lokasi penemuan mayat tersebut.
"Siasatan awal mendapati tiada sebarang dokumen diri dijumpai dan sebarang unsur pergelutan jenayah dikesan di lokasi penemuan mayat," katanya ketika dihubungi pada Jumaat.
Agus Salim memberitahu, keadaan mayat juga telah mula mereput dan dipercayai lebih dari tiga hingga empat hari meninggal dunia sebelum dijumpai.
"Parit tersebut merupakan sistem saliran air yang membekalkan sumber air ke kawasan penanaman sawah padi di Pasir Panjang.
"Semasa mayat ditemui air parit tersebut dalam keadaan surut," jelas beliau.
Sehubungan itu, katanya, polis turut mengambil keterangan beberapa saksi awam yang tinggal berhampiran tempat kejadian dan tiada maklumat berkenaan sebarang pergerakan mencurigakan di lokasi penemuan mayat.
"Menurut saksi juga, air di dalam parit tempat mayat dijumpai penuh sejak tiga hingga empat hari sebelum ini kerana cuaca hujan," ujar Agus Salim.
Katanya, mayat dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Jemaah (HTAJ) Sabak Bernam untuk dijalankan proses bedah siasat dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR).
Tambah beliau, mana-mana individu yang kehilangan ahli keluarga diminta tampil bagi membantu siasatan.
Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat juga boleh menghubungi Ibu Pejabat Polis (IPD) Sabak Bernam di talian 03-32245963 atau terus hubungi Ketua Polis Balai Sekinchan, Asisten Superintendan (ASP) Iek Ren Chong di talian 019-2825748.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!