Misi balas budi Narathiwat

Ahli Kemahang Care melihat keperluan bantuan untuk penduduk Narathiwat yang dilanda banjir sempena Misi Bantuan Banjir ke Narathiwat.
Ahli Kemahang Care melihat keperluan bantuan untuk penduduk Narathiwat yang dilanda banjir sempena Misi Bantuan Banjir ke Narathiwat.
A
A
A

PASIR MAS - Sebanyak 33 pacuan empat roda dan sebuah lori tiga tan dipenuhi barangan keperluan harian, pakaian dan makanan dibawa oleh sukarelawan untuk misi bantuan banjir ke Narathiwat, Thailand pada Jumaat.

Mereka terdiri daripada jemaah Masjid Mukim Padang Siam, Tanah Merah dan Masjid Lubok Jong Pasir Mas yang berkongsi duka dengan penduduk wilayah terbabit selepas ditenggelami air baru-baru ini.

Turut sama dalam misi dua hari itu ialah pertubuhan bukan kerajaan Kemahang Care.

Ketua misi, Dr Mohd Zawawi Mohamad berkata, mereka membawa keperluan asas termasuk pakaian, barangan keperluan harian dan makanan kering untuk diagihkan kepada lebih 200 mangsa.

"Keadaan di sana lebih teruk tiga kali ganda daripada banjir 2014 di negara ini malah ramai yang kehilangan tempat tinggal akibat dibawa arus deras," katanya kepada Sinar Harian pada Jumaat.

Beliau memberitahu, pada masa sama beberapa pacuan empat roda akan membawa sebahagian keperluan ke sebuah tahfiz yang turut terkesan dengan bencana itu.

Sementara itu, Presiden Kemahang Care, Rasyiman Rahim menjelaskan, NGO itu turut menyediakan pinggan mangkuk dan dapur bagi mengurangkan beban mangsa yang kini tinggal dalam keadaan daif.

"Kami juga membawa al-Quran, sejadah dan telekung solat yang menjadi keperluan utama penduduk selepas rumah mereka dibadai bencana.

Artikel Berkaitan:

"Usaha ini juga sebagai membalas budi masyarakat Narathiwat yang membantu kami ketika dilanda banjir setiap tahun," katanya.

Tambah beliau, sebelum ini Kemahang Care sudah melaksanakan Program Makanan Bermasak dengan menumbangkan seekor lembu untuk 1,800 mangsa banjir di Tanjung Mas, Narathiwat.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!