Ibadah tidak terbatas pada musim, waktu tertentu
MENYELAK semula lembaran sejarah, Rejab pernah dianggap sebagai bulan perayaan pada zaman jahiliah.
Ia sehinggakan umat ketika itu menunaikan puasa Rejab, menyembelih haiwan korban dan menganggapnya sebagai amalan dan hari perayaan.
Bagaimanapun, Rasulullah SAW pernah memberikan teguran supaya semua amalan itu dilakukan kerana ALLAH SWT.
Baginda ketika ditanya oleh para sahabat: "Wahai Rasulullah SAW, sesungguhnya kami menyembelih di dalamnya pada masa jahiliah, iaitu dalam bulan Rejab. Nabi Muhammad SAW bersabda: "Sembelihlah kerana ALLAH dalam bulan apa pun dan berbuat baiklah kerana ALLAH dan memberi makanlah." (Hadis Riwayat an-Nasai)
Walaupun tiada amalan khusus pada bulan Rejab, Pensyarah di Akademi Tamadun Islam, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Teknologi Malaysia, Prof Madya Dr Siti Norlina Muhamad mengingatkan, pelaksanaan amal ibadah sebagaimana diperintahkan oleh ALLAH SWT tidak terbatas ketika musim dan waktu tertentu sahaja.
Beliau menjelaskan, ada baiknya kita mengisi masa tersebut dengan pelbagai bentuk amal soleh dalam usaha membersihkan dan mendekatkan diri kepada ALLAH SWT memandangkan Rejab merupakan bulan menghampiri Ramadan.
"Ini penting agar momentum untuk melipat gandakan ibadah sudah bermula sebelum kedatangan bulan yang penuh berkat itu," katanya kepada Sinar Islam.
Fakta tersebut dikuatkan lagi apabila Rasulullah SAW pernah meninggalkan pesanan buat umatnya 'Janganlah menjadikan bulan dengan perayaan dan hari dengan perayaan'.
Berdasarkan ungkapan itu, Siti Norlina berkata, jelas bahawa umat Islam tidak digalakkan menjadikan perayaan tahunan kecuali apa yang disyariatkan oleh ALLAH SWT seperti Aidilfitri, Aidiladha dan hari-hari tasyrik serta hari Jumaat sebagai perayaan mingguan.
"Oleh itu, wajar bagi semua umat Islam berusaha memastikan diri mereka menjauhi segala perkara yang dimurkai oleh ALLAH SWT, di samping istiqamah dan gigih melaksanakan segala perintah-NYA dan menambah amalan soleh sepanjang bulan Rejab ini.
"Selain berdoa, ada beberapa lagi amalan lain yang sebaiknya dilakukan berterusan bermula bulan ini seperti qiamullail, bangun mengerjakan solat-solat sunat umpamanya tahajud, taubat, hajat dan lain-lain.
“Di samping itu, bacalah al-Quran, banyakkan berzikir, beristighfar, berselawat dan melazimkan waktu siang dengan puasa sekurang-kurangnya pada hari Isnin dan Khamis atau hari-hari putih," terangnya.
Kunci bulan-bulan kebaikan
Seperkara lagi, pensyarah itu mengingatkan, Rejab merupakan kunci bulan-bulan kebaikan dan bulan yang berkat.
Beliau kemudian memetik pandangan Abu Bakar al-Warraq al-Balkhi yang menyatakan: "Bulan Rejab merupakan bulan menanam, Syaaban pula bulan menyiram dan Ramadan bulan menuai hasilnya."
"Abu Bakar al-Warraq al-Balkhi turut memberikan perumpaan berkaitan bulan haram yang mana 'Bulan Rejab seperti angin, Syaaban seperti awan dan Ramadan seperti hujan'," katanya.
Kepada satu soalan, Siti Norlina menjawab: "Meskipun doa berbunyi 'Ya ALLAH, berkatilah kami pada bulan Rejab dan Syaaban dan sampaikanlah kami ke bulan Ramadan' datangnya daripada riwayat dengan sanad yang daif, tetapi ia boleh digunakan untuk beramal.
"Bahkan doa yang diambil daripada hadis diriwayatkan oleh Imam al-Tabarani itu menunjukkan bahawa disunatkan berdoa agar mereka selamat dan dapat melakukan amal soleh.
"Sebagai seorang mukmin, sudah tentu setiap individu ingin memastikan pertambahan umurnya diisi dengan kebaikan kerana sebaik-baik manusia adalah yang panjang umurnya dan baik amalannya."
ANEKDOT
5 peristiwa penting dalam bulan Rejab
1. Penghijrahan pertama ke Habsyah.
Hijrah pertama umat Islam berlaku pada tahun ke-5 kenabian bersamaan 615 Masihi. Kesengsaraan yang dialami para sahabat dan ancaman berterusan daripada puak Musyrikin Quraisy menyebabkan Nabi Muhammad SAW memerintahkan orang Islam berhijrah ke Habsyah.
2. Peristiwa Israk dan Mikraj.
Menurut majoriti ulama, peristiwa besar dalam sejarah umat Islam itu berlaku pada 27 Rejab yang mana melibatkan perjalanan Nabi Muhammad SAW dari Makkah ke Palestin hanya dalam satu malam begitu mencabar keimanan umat Islam.
Israk bermaksud perjalanan dari Masjidil Haram ke Masjidil Aqsa, manakala Mikraj pula bermula dari Masjidil Aqsa menuju ke Sidratulmuntaha menemui ALLAH SWT.
3. Perang Tabuk.
Dalam perang yang berlaku pada tahun 9 Hijrah, Rasulullah SAW memimpin angkatan tentera seramai 30,000 orang terdiri daripada penduduk Makkah dan Madinah. Kemenangan berpihak kepada orang Islam tanpa pertumpahan darah kerana tiada pertempuran antara tentera Islam dan Rom.
4. Pembebasan kedua Baitulmaqdis.
Rejab menyaksikan tentera Islam pimpinan Salahuddin al-Ayyubi berjaya menawan kembali Baitulmaqdis kali kedua pada hari Jumaat, 27 Rejab tahun 583 Hijrah, menewaskan tentera Salib yang menjajah kawasan tersebut.
Baitulmaqdis mula dibuka semasa pemerintahan Saidina Umar bin al-Khattab dan berjaya mempertahankan kota suci ketiga itu selama 500 tahun. Bagaimanapun, akibat kelalaian dan perpecahan pada zaman Abasiyah, orang Kristian dalam peperangan Salib menakluk Baitulmaqdis selepas berlaku serangan bertubi-tubi dan memerintah selama 50 tahun.
5. Khalifah Uthmaniyyah dimansuhkan oleh Mustafa Kemal Ataturk.
Sejak diasaskan pada tahun 1299, Empayar Uthmaniyyah berdiri gah atas dasar syahadatul haq oleh Osman Ertugul (Sultan Osman 1) untuk memakmurkan bumi dengan Islam.
Namun, sekitar tahun 1908-1924, Mustafa Kemal, seorang tokoh dalam golongan mula mula menyebarkan idea-idea pemodenan yang memperjuangkan pemerintahan Turki yang bebas daripada Islam dan mengikut sistem Barat untuk mencapai kemajuan.
Ketika beliau berada dalam pemerintahan tertinggi tentera Uthmaniyyah, beliau cuba mengurangkan kuasa sultan dengan penubuhan Parlimen dan diangkat mengetuainya. Akhirnya dengan kuasanya, pelbagai taktik licik digunakan untuk menjatuhkan sultan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!