Adakan PRU16 lebih awal jika keadaan politik mendesak - Aminolhuda
JOHOR BAHRU - Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) wajar diadakan lebih awal sekiranya keadaan mendesak dalam usaha mengekalkan kestabilan politik sekiranya Akta Berpenggal Tetap Parlimen dibimbangi bersifat terlalu autokratik untuk dilaksanakan.
Pengerusi Parti Amanah Negara (Amanah) Johor, Aminolhuda Hassan berkata, PRU16 itu penting bagi mengukuhkan majoriti dua pertiga yang menyokong Kerajaan Perpaduan di Parlimen ketika ini, sekali gus melenyapkan kebimbangan berkenaan situasi serta khabar angin ketidaktentuan politik ketika ini.
Katanya, ini bukan bermaksud beliau menafikan kebaikan akta berkenaan yang dilihat dapat mewujudkan kepastian daripada sudut penjadualan pilihan raya umum.
"Akta Penggal Tetap Parlimen satu cadangan yang baik untuk kekalkan kestabilan satu kerajaan, malah lebih penting ia meletakkan satu 'goal post' kepada semua pihak tidak kira kerajaan mahupun pembangkang sekali gus memberi jaminan dan kestabilan yang tentu akan menggalakkan pelaburan.
"Walau bagaimanapun perlu juga ada keadaan yang amat tertentu 'special circumstances' yang membolehkan satu pilihan raya diadakan lebih awal contoh sekiranya mendapat majoriti dua pertiga Parlimen dengan keadaan yang cukup mendesak untuk diadakan satu pilihan raya," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Sehubungan itu, Aminolhuda yang juga Ahli Parlimen Sri Gading berkata, kerisauan bahawa kononnya akta itu bertindak dengan terlalu autokratik dalam kepimpinannya akan dapat dielakkan.
Jelasnya, ini juga termasuk menghilangkan rasa bimbang rakyat terhadap keharmonian dan ketidakstabilan dal kalangan masyarakat pelbagai kaum dan agama di negara ini.
Aminolhuda mengulas kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkenaan kerajaan melalui Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU) akan meneruskan kajian terperinci termasuk kajian impak dan mendapatkan pandangan orang awam berkenaan pengenalan Akta Parlimen Berpenggal Tetap.
Terdahulu pada Sabtu, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mencadangkan diwujudkan Rang Undang-Undang (RUU) untuk mengekalkan kerajaan sehingga tamat penggal, susulan dakwaan wujud usaha menumbangkan pemerintahan Datuk Seri Anwar Ibrahim menerusi ‘Langkah Dubai’ seperti dilaporkan media.
Memberi respon terhadap perkara tersebut, Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim tidak bersetuju dengan cadangan Timbalan Perdana Menteri itu yang dilihat tidak sesuai digunakan di negara ini malah mempunyai kelemahan yang boleh menjurus kepada pemerintahan bersifat diktator dan korup.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!