Dua lelaki kantoi leka isi minyak diesel dalam tong dram

Anggota memeriksa tong-tong dram yang telah diisi minyak diesel. Foto Ihsan KPDN
Anggota memeriksa tong-tong dram yang telah diisi minyak diesel. Foto Ihsan KPDN
A
A
A

TEMERLOH - Dua lelaki yang sedang leka mengisi minyak diesel ke dalam tong dram ditahan oleh anggota pegawai penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Cawangan Temerloh dalam Ops Tiris 3.0 pada Jumaat.

Ketua Pegawai Penguat Kuasa Daerah (KPDN) Cawangan Temerloh, Abdul Razak Yahaya memberitahu, dalam kejadian kira-kira jam 12.35 tengah malam itu, anggota terlibat terserempak dengan sebuah lori yang sedang membuat pengisian minyak diesel ke dalam tong dram di bahagian belakang kenderaan itu.

Menurutnya, hasil pemeriksaan mendapati individu yang ditahan telah membeli minyak diesel bersubsidi dan mengisinya ke dalam lapan tong dram di stesen minyak berkenaan tanpa sebarang surat kebenaran Pengawal Bekalan Malaysia.

Lapan tong dram yang ditemui pada bahagian belakang lori tersebut. Foto Ihsan KPDN
Lapan tong dram yang ditemui pada bahagian belakang lori tersebut. Foto Ihsan KPDN

"Difahamkan minyak diesel tersebut adalah untuk kegunaan industri dan kita telah bertindak menyita minyak diesel dan kenderaan serta dokumen yang terlibat di tempat kejadian dan nilai rampasan dianggarkan berjumlah RM152,805.94," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Ujarnya, dua lelaki tempatan berusia 41 dan 27 tahun yang merupakan pemandu lori dan kelindan juga telah ditahan untuk siasatan lanjut di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961.

Jelasnya, tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana individu atau peniaga yang melanggar peruntukan undang-undang dan sekiranya mana-mana individu atau peniaga melakukan kesalahan tersebut.

Tambahnya, mereka yang terlibat bakal berdepan dengan tindakan dan hukuman denda sehingga RM1 juta atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya dan bagi syarikat pula denda sehingga RM2 juta di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!