Asy-Syifa’, guru wanita pertama zaman Rasulullah

Wanita hebat itu kuasai pelbagai gagasan ilmu termasuk perubatan

TIDAK hanya lelaki, ramai kaum Hawa pada zaman silam bergelar cendekiawan Islam hebat kerana memiliki ketinggian ilmu dan kebolehan tertentu termasuk Asy-Syifa' binti Abdullah. -Gambar hiasan
TIDAK hanya lelaki, ramai kaum Hawa pada zaman silam bergelar cendekiawan Islam hebat kerana memiliki ketinggian ilmu dan kebolehan tertentu termasuk Asy-Syifa' binti Abdullah. -Gambar hiasan
A
A
A

TANGAN yang menghayun buaian boleh menggoncang dunia bukan sekadar peribahasa atau omongan semata-mata. Ia benar-benar terbukti dan begitu cocok dengan wanita hebat pada zaman Rasulullah SAW bernama Asy-Syifa’ binti Abdullah.

Meskipun seorang Muslimah, namun kebolehan dan ketinggian ilmu yang dimiliki tidak boleh disangkal lagi.

Namanya sentiasa meniti pada bibir masyarakat sekitar era berkenaan. Masakan tidak, pemilik nama asal Laila binti Abdullah bin Abdu Syams bin Khalaf bin Sadad bin Abdullah itu diperakui kehandalannya dalam membaca dan menulis. Pada zaman itu, tidak ramai yang celik huruf, hanya dianggarkan sekitar 20 orang sahaja termasuk Asy-Syifa'.

ASY-SYIFA' sering menjadi rujukan ramai untuk menimba pengetahuan, malah terdapat dalam kalangan anak muridnya ialah isteri Rasulullah SAW.
ASY-SYIFA' sering menjadi rujukan ramai untuk menimba pengetahuan, malah terdapat dalam kalangan anak muridnya ialah isteri Rasulullah SAW.

Menjejaki historiografi, Asy-Syifa’ sememangnya menjadi guru dan rujukan ramai. Bahkan, dirinya cukup disenangi kerana tidak lokek berkongsi pengetahuan dimiliki.

Menurut portal umma.id, wanita hebat itu memeluk Islam sebelum Rasulullah SAW melakukan hijrah ke Madinah. Figura itu menjadi antara muhajirin angkatan pertama dan wanita terawal berba’iat kepada Rasulullah SAW sebagaimana yang disebutkan dalam al-Quran menerusi ayat 12, Surah al-Mumtahanah.

“Mahmud Mahdi al-Istanbuli dan Mushthafa Abu an-Nashr asy-Syalabi dalam Nisaa’ Haular Rasuuli (Wanita Teladan di Zaman Rasulullah SAW) menyatakan, Asy-Syifa’ dikenali sebagai Muslimah yang cerdas dan utama.

Artikel Berkaitan:

“Malah, beliau merupakan salah seorang tokoh Islam yang menonjol dan di dalam dirinya, terhimpun pengetahuan dan keislaman,” katanya sebagaimana dipetik menerusi laman web berkenaan.

Selepas memeluk Islam, Asy-Syifa’ terus mengabdikan dirinya dengan mengajar para Muslimah lain semata-mata untuk mendapatkan ganjaran kerana ALLAH SWT.

Maka tidak hairanlah mengapa beliau disebut-sebut sebagai guru wanita pertama dalam Islam sebagaimana dipetik menerusi portal kalam.sindonews.com. Anak muridnya juga bukan sembarangan orang.

“Antara individu yang mendapat pendidikan daripada wanita hebat ini ialah Hafshah binti Umar bin Al-Khattab, isteri Rasulullah SAW.

“Dalam sebuah hadis ada meriwayatkan bahawa baginda meminta Asy-Syifa’ untuk mengajarkan Hafshah menulis dan sebahagian ilmu rukyah (perubatan dengan doa),” katanya dipetik menerusi laman web berkenaan.

Satu lagi kemahiran penting yang dimiliki oleh Asy-Syifa’, beliau sebenarnya handal dalam bidang perubatan ketika zaman jahiliah. Tatkala beliau kembali kepada fitrah Islam, dirinya terus mengalirkan bakat dan kepakarannya untuk mengajar serta merawat orang lain.

Tambah istimewa lagi, wanita tersebut turut menyelitkan doa ketika proses rawatan rukyah dilakukannya.

Antara doa yang sering dibacakan termasuklah: “Ya ALLAH Tuhan manusia, YANG MAHA MENGHILANGKAN PENYAKIT, sembuhkanlah kerana ENGKAU MAHA PENYEMBUH, tiada yang dapat menyembuhkan selain ENGKAU, sembuh yang tidak terjangkiti penyakit lagi.” (Hadis Riwayat Abu Daud)

 SELAIN bergelar guru, Asy-Syifa' juga handal dalam bidang perubatan dan merawat orang lain menggunakan rukyah.
SELAIN bergelar guru, Asy-Syifa' juga handal dalam bidang perubatan dan merawat orang lain menggunakan rukyah.

Dalami ilmu hadis, agama

Dek kerana kepakarannya itu, Rasulullah SAW memberikannya sebuah rumah khas di Madinah berhampiran dengan mereka yang menderita penyakit gatal.

Wanita itu tinggal di kediaman tersebut bersama anaknya, Sulaiman.

Beliau tidak lupa diri, apatah lagi mendabik dada dengan kurniaan tersebut. Sebaliknya, kesempatan yang terbentang luas itu membolehkannya mempelajari ilmu hadis daripada Nabi Muhammad SAW, selain mendalami masalah agama dan duniawi.

“Dengan ilmu itulah beliau berdakwah dan memberi nasihat kepada orang ramai.

“Bahkan, Umar bin Al-Khattab memuji kepintaran dan fikrah Asy-Syifa’, selain acap kali menerima pandangannya,” katanya sebagaimana dipetik daripada portal berita berpengaruh di Indonesia itu.

Ternyata Asy-Syifa’ bukan sahaja berpengetahuan luas, tetapi beliau turut dikenali dengan sifat dermawan. Perilaku mulia berkenaan bukan sahaja dilihat ketika beliau berkongsi ilmu pengetahuan semata-mata, tetapi juga dari konteks sosial dan keperihatinannya.

Laman sesawang akurat.com melaporkan, ketika Nabi Muhammad SAW ke rumahnya, Asy-Syifa’ menyediakan tempat istimewa sebagai penghormatan ke atas Baginda.

Seperkara lagi yang menarik tentang wanita hebat itu, beliau sebenarnya juga merupakan salah seorang perawi hadis.

Terdapat beberapa hadis yang pernah diriwayatkan oleh Asy-Syifa’ daripada Rasulullah SAW, selain Umar bin Al-Khattab.

“Bahkan, beberapa orang turut meriwayatkan hadis yang datang daripadanya. Antaranya seperti anaknya, Sulaiman bin Abu Khaitsumah, dua orang cucunya iaitu Abu Bakar dan Uthman, Abu Ishaq dan ummul mukminin Hafshah,” katanya.

Sumbangannya kepada agama tidak terhenti di situ sahaja. Sebaliknya, selepas kewafatan Nabi Muhammad SAW, Asy-Syifa’ terus memerhatikan keadaan kaum Muslimin dan memuliakan mereka sehingga beliau meninggal dunia pada tahun ke-20 Hijrah.

PROFIL

ILUSTRASI Asy-Syifa' yang digambarkan sebagai seorang yang cerdas. -Gambar hiasan
ILUSTRASI Asy-Syifa' yang digambarkan sebagai seorang yang cerdas. -Gambar hiasan

Nama penuh: Laila binti Abdullah bin Abdu Syams bin Khalaf bin Sadad bin Abdullah.

Gelaran: Asy-Syifa’ dan guru wanita pertama dalam Islam.

Asal: Bani Adi daripada kaum Quraisy Makkah.

Sumbangan: Menggunakan perubatan tradisional untuk merawat orang sakit, mengajar khat, membaca dan menulis serta pernah menjadi pegawai pemeriksa di pasar di Madinah ketika zaman pemerintahan Khalifah Umar bin al-Khattab.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!