Tiga termasuk dua remaja tidak mengaku perdaya wanita
ALOR GAJAH - Tiga lelaki termasuk dua remaja mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Alor Gajah di sini pada Jumaat atas tuduhan memperdaya seorang wanita bagi melepaskan orang tahanan tidak wujud tahun lepas.
Azri Zulhusni Nodin, 29, dan dua remaja bawah umur, masing-masing berumur 17 dan 15 tahun, dituduh memperdaya Noor Aishah Mohamad, 58, untuk menyerahkan wang tunai sejumlah RM25,000 melalui remaja berusia 17 tahun itu, bagi urusan melepaskan orang dalam tahanan yang tidak wujud.
Mereka dituduh melakukan kesalahan itu di pekan Masjid Tanah kira-kira 11 pagi pada 29 November 2023.
Ketiga-tiga tertuduh didakwa di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan dibacakan bersama Seksyen 109 akta sama yang membawa hukuman penjara minimum satu tahun dan maksimum 10 tahun, dan dengan sebatan serta boleh juga didenda.
Timbalan Pendakwa Raya Sharina Farhana Nor Sa'ari menawarkan jaminan sebanyak RM10,000 kepada Azri Zulhusni, manakala RM8,000 setiap seorang bagi dua remaja terbabit.
Kesemua tertuduh yang tidak diwakili peguam, bagaimanapun memohon agar jaminan dikurangkan.
Majistret Nurul Bahiyah Kamaluddin membenarkan jaminan sebanyak RM6,000 terhadap Azri Zulhusni dan RM1,500 setiap seorang bagi kedua-dua remaja itu dan menetapkan 19 Feb untuk sebutan semula kes serta lantikan peguam. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!