Warisan lawan BN di Kimanis


Calon BN dari parti UMNO Datuk Mohamad Alamin, Calon Parti Warisan, Datuk Karim Bujang, di Pusat Penamaan Calon Dewan Datuk Seri Panglima Haji Mohd Dun Banir Beaufort hari ini - Foto Bernama
Calon BN dari parti UMNO Datuk Mohamad Alamin, Calon Parti Warisan, Datuk Karim Bujang, di Pusat Penamaan Calon Dewan Datuk Seri Panglima Haji Mohd Dun Banir Beaufort hari ini - Foto Bernama
A
A
A

BEAUFORT - [DIKEMASKINI] Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kimanis menyaksikan pertandingan satu lawan satu antara calon Parti Warisan Sabah (Warisan) dan Barisan Nasional (BN).

Warisan mempertaruhkan Ketua Bahagian Warisan Kimanis, Datuk Karim Bujang, 67, yang akan dicabar oleh calon BN, Datuk Mohamad Alamin, 48, yang juga Ketua Bahagian UMNO Kimanis.

Mohamad calon pertama menyerahkan borang pencalonan pada jam 9.07 pagi, diikuti Karim pada jam 9.10 pagi.

Pegawai Pengurus PRK Kimanis Jupari@Jupry Etok mengumumkan nama calon yang bertanding untuk PRK Kimanis pada jam 10.25 pagi.

Sebelum itu, pusat penamaan calon di Dewan Datuk Seri Panglima Hj Mohd Dun Banir dibuka pada jam 9.00 pagi dan proses mengemukakan borang pencalonan berjalan lancar selama sejam.

Pemimpin parti yang mengiringi Karim ke pusat penamaan antaranya Timbalan Perdana Menteri yang juga Pengerusi Majlis Penasihat Parti Keadilan Rakyat, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, Presiden Warisan yang juga Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, Presiden Parti Amanah Negara (Amanah) Mohamad Sabu dan Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir.

Karim ialah calon Warisan bagi kerusi itu pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) pada Mei 2018, namun kalah dengan majoriti 156 undi kepada bekas Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman, yang ketika itu bertanding atas tiket BN.

Anifah memperoleh 11,942 undi dalam pertandingan tiga penjuru menentang Karim yang mendapat 11,786 undi manakala calon Parti Harapan Rakyat Sabah, Jaafar Ismail meraih 1,300 undi.

Artikel Berkaitan:

PRK di kawasan Parlimen itu diadakan selepas Mahkamah Persekutuan pada 2 Disember tahun lepas mengekalkan keputusan Mahkamah Pilihan Raya Kota Kinabalu yang membatalkan kemenangan Anifah.

Mahkamah Pilihan Raya Kota Kinabalu pada 16 Ogos tahun lepas memutuskan bahawa kemenangan Anifah di kerusi itu pada PRU14 sebagai tidak sah dan terbatal selepas mendapati ada kertas undi tambahan yang boleh menjejaskan keputusan pilihan raya.

Karim memfailkan petisyen pilihan raya pada 18 Jun tahun lepas untuk mencabar keputusan pilihan raya itu.

Semalam, Mahkamah Persekutuan di Putrajaya menolak usaha terakhir Anifah Aman untuk menyemak semula keputusan dibuat mahkamah sama yang membatalkan kemenangannya di kerusi Parlimen Kimanis pada PRU14, yang menyaksikan pilihan raya kecil diadakan di kawasan itu.

Karim dari Kampung Brunei, Kimanis adalah bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bongawan selama lima penggal dari 1990 hingga 2013.

Beliau pernah menjawat jawatan kanan dalam Kabinet Sabah sebagai Pembantu Menteri Kewangan dan Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah.

Sementara itu, Mohamad adalah bekas ADUN Bongawan selama sepenggal selepas tewas pada PRU14 kepada Dr Daud Yusof dari Warisan bagi kerusi berkenaan.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tarikh penamaan calon PRK Parlimen Kimanis pada hari ini dan hari mengundi pada 18 Jan manakala hari pengundian awal pada 14 Januari.

Parlimen Kimanis mempunyai dua kawasan Dewan Undangan Negeri iaitu Bongawan dan Membakut dengan jumlah 29,664 pemilih layak mengundi, termasuk sembilan pengundi awal dan seorang pengundi tidak hadir luar negara.

Pemilih itu terdiri daripada 14,800 lelaki dan 14,864 perempuan dengan DUN Bongawan mempunyai 16,273 pemilih dan DUN Membakut 13,391 pemilih. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!