Netanyahu terus angkuh tak iktiraf pembentukan negara Palestin
TEL AVIV - Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu tegaskan kekal membantah pembentukan sebarang penyelesaian disebut sebagai negara Palestin jika ia tidak menjamin keselamatan Israel.
Dalam ucapannya, Netanyahu dengan angkuh berkata, konflik yang sudah berlarutan melebih tiga dekad ini bukan tentang ketiadaan negara Palestin, tetapi berkenaan kewujudan negara Yahudi.
"Mereka yang bercakap tentang hari selepas Netanyahu sebenarnya bercakap tentang penubuhan negara Palestin dengan pihak berkuasa Palestin, ini sebenarnya yang mereka katakan. Dan saya ingin memberitahu anda, hari ini bukan hari selepas Netanyahu, ia adalah suara majoriti rakyat Israel.
"Selama 30 tahun saya sangat konsisten dan saya katakan perkara yang mudah - konflik ini bukan tentang ketiadaan negara Palestin, tetapi kewujudan negara Yahudi," katanya.
Ucapannya itu dituju khas kepada sekutu rapatnya Amerika Syarikat (AS), yang kini berbelah bahagi dalam memberikan sokongannya.
Ini kerana Netanyahu dan kerajaan gabungan sayap kanannya majoriti menolak penubuhan negara Palestin, walaupun Washington berpendapat penyelesaian dua negara adalah satu-satunya cara yang boleh dilaksanakan untuk membawa keamanan yang berkekalan di rantau Asia Barat.
Dalam lawatan Setiausaha Negara AS Antony Blinken ke negara Asia Barat minggu lalu, beliau senada dengan Israel bahawa jiran-jirannya yang kebanyakannya Muslim akan membantu memulihkan Gaza selepas perang dan meneruskan integrasi ekonomi dengan Israel dengan syarat mereka komited untuk membenarkan pengwujudan negara Palestin yang merdeka.
Rundingan yang diusahakan oleh AS mengenai sebuah negara Palestin di wilayah yang kini diduduki oleh Israel menemui jalan buntu hampir sedekad lalu. - Awani
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!