Sembilan stesen KTMB dinaik taraf, satu bina baharu

Anthony (tiga dari kanan) ketika merasmikan pelancaran Stesen Seremban Sentral.
Anthony (tiga dari kanan) ketika merasmikan pelancaran Stesen Seremban Sentral.
A
A
A

SEREMBAN - Sembilan projek naik taraf stesen Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) akan dilakukan di kawasan Lembah Klang dengan satu stesen dibina baharu di sini membabitkan kos keseluruhan kira-kira RM280 juta.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, projek di bawah Landasan Berkembar Elektrik Lembah Klang Fasa 2 (KVDT2) itu melibatkan stesen Salak Selatan, Bangi, Pantai Dalam, Seri Setia, Batu 3, Padang Jawa, Klang, Jalan Kastam, Pelabuhan Klang dan satu stesen baharu, Stesen Seremban Sentral.

Menurutnya, kesemua projek itu dimulakan serta-merta manakala Stesen Seremban Sentral akan menjadi mercu tanda yang paling moden di bandar raya Seremban, dijangka siap dalam tempoh 24 bulan.

"Ini merupakan komitmen kerajaan untuk terus memberikan kemudahan dan infrastruktur yang baik dalam sistem landasan kita. Ia merupakan hala tuju baharu kerajaan, kita mahu menjadikan pengangkutan awam sebagai satu mod yang penting.

"Saya tahu ramai yang mengeluh dan tidak berpuas hati dengan perkhidmatan KTM (Keretapi Tanah Melayu) kita masih lambat kerana kekerapan tidak begitu tinggi. Ini disebabkan oleh projek menaik taraf landasan kita masih berjalan," katanya kepada pemberita selepas selesai Majlis Pelancaran Stesen Baharu Seremban Sentral pada Jumaat.

Anthony ketika menyempurnakan gimik pecah tanah Stesen Seremban Sentral.
Anthony ketika menyempurnakan gimik pecah tanah Stesen Seremban Sentral.

Bagaimanapun beliau berkata, semua projek itu berjalan serentak supaya dalam masa beberapa tahun nanti, tiada lagi gangguan kepada pengguna.

"Pada pada masa sama kita cuba lakukan mitigasi lain antaranya meningkatkan kekerapan kereta api.

Artikel Berkaitan:

"Justeru saya harap pengguna dapat menggunakan aplikasi kita supaya tahu waktu perjalanan agar tidak tunggu lama di stesen, dan kita sedaya upaya pastikan kekerapan ini akan ditambah terutamanya di Lembah Klang dan Kuala Lumpur," katanya.

Sementara itu, mengenai perkembangan KVDT 1, beliau berkata, ia sudah hampir 97 peratus siap dan dijangka siap pada penghujung April.

"Perdana Menteri juga telah mengarahkan semua menteri untuk menjalankan kerja mereka dengan cepat. 2024 adalah tahun pelaksanaan dan kita perlu bertindak pantas," katanya.

Sembilan projek naik taraf stesen KTMB akan dilakukan di kawasan Lembah Klang dengan satu stesen dibina baharu di Seremban membabitkan kos keseluruhan kira-kira RM280 juta.
Sembilan projek naik taraf stesen KTMB akan dilakukan di kawasan Lembah Klang dengan satu stesen dibina baharu di Seremban membabitkan kos keseluruhan kira-kira RM280 juta.

Dalam pada itu, katanya, Stesen Seremban Sentral akan menitikberatkan kepentingan warisan sejarah stesen asal dan akan mengintegrasikan aspek-aspek kemodenan dalam pembinaan semula stesen tersebut.

"Reka bentuk stesen ini juga akan mengambil inspirasi daripada reka bentuk yang unik di sekitar kawasan Negeri Sembilan iaitu konsep bumbung Minangkabau selain menitikberatkan pembangunan yang lestari mesra.

"Seremban Sentral seluas kira-kira sembilan hektar berkonsepkan Pembangunan Berorientasikan Transit menghimpunkan komponen termasuk rumah mampu milik, pejabat dan hotel seperti KL Sentral tetapi dalam skala rendah selain dijangka menjana nilai pembangunan kasar RM1.4 bilion," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!