Tegur pemimpin, satu jihad besar
SHAH ALAM - Sejak akhir-akhir ini, situasi mempersendakan pemimpin, menegur secara kasar dan terbuka dalam media sosial dilihat kerap berlaku.
Malah tidak kurang juga ada sesetengah individu memaki hamun pemimpin kononnya untuk melaksanakan tanggungjawab sebagai rakyat prihatin termasuklah 'amar makruf nahi mungkar' (mengajak kepada kebaikan dan mencegah kemungkaran).
Pensyarah Kanan Akademi Pengajian Islam Kontemporari Universiti Teknologi Mara (Mara), Prof Madya Dr Mohd Nor Mamat berkata, beliau secara peribadi berasa sedih melihat situasi itu.
Katanya, menegur pemimpin merupakan satu jihad besar dan sangat dituntut keberaniannya dalam Islam.
"Namun akhir-akhir ini, saya melihat lebih banyak situasi yang tersebar bukannya menegur kesilapan secara ilmiah dan berasas, malah lebih kepada mengata, mengumpat dan menfitnah secara negatif," katanya.
Mohd Nor berkata, menurut Imam Syafie, sekiranya teguran dibuat secara terbuka di khalayak ramai, ia bukannya nasihat, malah dikira melakukan penghinaan.
"Lebih menyedihkan, praktis sebegini bukan sahaja dilakukan golongan yang kita boleh kategorikan sebagai kurang baik, tetapi membabitkan juga golongan ilmuan, ahli akademik, guru dan pendakwah yang sepatutnya menyebarkan kebaikan serta mendidik masyarakat berilmu.
"Hari ini, jadi kebiasaan sesetengah kita menghukum pemimpin hanya berdasarkan viral (tular), sumber anonymous (tidak dikenali) ataupun sumber-sumber provokatif," katanya kepada Sinar Islam.
Hormati pemimpin adalah perintah ALLAH
Secara asasnya, menghormati pemimpin adalah perintah daripada ALLAH SWT.Mohd Nor berkata, sekiranya pemimpin zalim dan kezaliman itu jelas serta terbukti, maka aspek yang perlu ditegur hendaklah selari dengan hukum dan tujuannya mestilah menepati maqasid syariah.
"Asas penilaian kita terhadap sesuatu isu juga mestilah berasaskan ilmu, bukannya emosi. Ia juga mestilah bertujuan untuk keadilan umum, bukannya untuk peribadi.
"Satu sudut yang perlu dilihat juga adalah perkaitan kita dengan isu yang kita ingin tegue; apakah skop tugas kita ataupun kepakaran kita untuk didengari teguran kita ataupun bukan," katanya.
Menurutnya, Rasulullah SAW berpesan agar tidak mencampuri sesuatu urusan yang bukan berkenaan dengan kita.
"Perasaan bahawa semua perkara adalah urusan kita sebenarnya adalah tanda-tanda penyakit hati yang takabbur dan ujub," katanya.
Tegur secara beradab
Dalam menegur pemimpin, ia perlu dilakukan secara beradab dengan kaedah dakwah yang perlu disesuaikan agar lebih berkesan.
Mohd Nor berkata, dakwah tidak boleh berlaku dalam keadaan marah, malah ia perlu disampaikan dalam nada kasih sayang bertujuan menambahbaik atau memperbetulkan kesilapan.
"Bukannya untuk menyakitkan hati atau merendah-rendahkan orang lain. Islam tidak membenarkan kaedah yang salah walaupun matlamatnya baik," katanya.
Beliau berpendapat, teguran secara kasar, menyindir dengan bahasa kesat atau maki hamun menjadi kurang berkesan, malah membawa lebih banyak masalah baru dan kekeliruan dalam masyarakat.
"Ia dibimbangi akan membawa budaya seperti mengata, menghina, mengecam, mengutuk atau kata-kata kesat menjadi perbualan biasa dalam masyarakat, suatu hari nanti," katanya.
Menurutnya, seharusnya dalam masyarakat berilmu dan berfikiran maju, teguran terhadap pemimpin yang zalim perlu dibuat secara profesional dengan ilmu dan adab.
"Ia memungkinkan pemimpin lebih mudah menerima teguran serta memperbaiki kesilapan untuk mentadbir negara dan masyarakat secara lebih baik.
"Masyarakat yang bijak akan mampu menegur pemimpin secara efektif. Jika tidak berlaku perubahan, sekurang-kurangnya kita tidak terhanyut sama berbuat salah dek kerana kesalahan pemimpin," katanya.
Dalam pada itu, Mohd Nor berkata, Islam sememangnya menjamin kebebasan bersuara untuk semua orang, namun hanya untuk perkara baik dan benar.
Menurutnya, Rasulullah SAW menegaskan, antara bukti kita beriman dengan ALLAH SWT dan hari akhirat, hendaklah hanya berkata yang baik-baik sahaja ataupun lebih baik berdiam diri.
"Kita bebas menyuarakan apa sahaja yang baik dan benar, dengan cara yang baik dan benar, juga untuk tujuan yang sama.
"Andai tidak benar atau kesannya tidak baik, maka berdiam diri itu juga pilihan kita dalam negara yang memberi kebebasan bersuara. Fikir-fikirkan sebelum bersuara, mudah-mudahan suara kita yang baik dan benar akan lebih dihormati dan mudah diterima orang lain," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!