Ahli Majlis pikul tanggungjawab berat - Datuk Bandar Shah Alam
SHAH ALAM - Ahli Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) yang baharu dilantik kerajaan negeri bagi tempoh 2024 hingga 2025 memikul amanah dan tanggungjawab yang besar.
Datuk Bandar Shah Alam, Ir Cheremi Tarman berkata, lantikan sebagai Ahli Majlis merupakan satu penghormatan dan membawa erti yang besar kepada masyarakat setempat.
Ujarnya, menjadi Ahli Majlis juga merupakan satu platform terbaik bagi pemimpin masyarakat untuk mengambil sikap peduli terhadap masalah dihadapi warga bandar raya berkenaan.
Malah Cheremi juga percaya setiap Ahli Majlis mempunyai impian memberikan yang terbaik kepada masyarakat dari segi penyediaan perkhidmatan, keperluan dan kehendak masa depan.
"Namun, Ahli Majlis mempunyai dua peranan penting yang sama beratnya iaitu mengawasi PBT (MBSA) dalam melaksanakan tugas dan tanggungjawab penuh amanah, berintergriti, efektif dan efisyen.
"Pada masa sama, mereka perlu menyedarkan komuniti setempat untuk memenuhi kewajipan dan tanggungjawab mereka menyokong MBSA dalam melaksanakan tugas dan tanggungjawab itu," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas mengangkat sumpah sebagai Datuk Bandar Shah Alam di Dewan Perbandaran, Wisma MBSA di Seksyen 14 di sini pada Jumaat.
Pelantikan Cheremi menggantikan Dr Nor Fuad Abdul Hamid yang dilantik sebagai Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan), Kementerian Pengangkutan.
Turut mengangkat sumpah pada majlis angkat sumpah dan menandatangani surat akujanji PBT berkenaan ialah seramai 22 Ahli Majlis MBSA bagi penggal 2024-2025.
Mengulas lanjut, Cheremi berkata, MBSA mempunyai harapan tinggi dengan pelantikan Ahli-ahli Majlis yang mempunyai pengalaman, pendidikan dan latar belakang itu dapat membantu memperkasakan sistem penyampaian PBT itu.
Selain itu, katanya, MBSA juga berharap agar Ahli Majlis dapat menjalankan tanggungjawab dan amanah dengan baik serta dapat memberikan pandangan dan idea demi untuk meningkatkan prestasi pentadbiran MBSA.
"MBSA percaya gabungan Ahli-ahli Majlis mempunyai pelbagai latar belakang serta profesion dapat menggembleng idea dan cadangan untuk menambah baik pengurusan dan prestasi pengurusan kerja di MBSA," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!