Gangguan air: Pengusaha pusat cuci kenderaan tanggung rugi

Salah seorang pekerja mencuci kereta mengikut jumlah air yang ada susulan bekalan air terjejas sejak akhir tahun lalu.
Salah seorang pekerja mencuci kereta mengikut jumlah air yang ada susulan bekalan air terjejas sejak akhir tahun lalu.
A
A
A

BESUT - Seorang pengusaha pusat cuci kenderaan terpaksa menanggung kerugian apabila perlu mengeluarkan belanja lebih bagi membeli tong air berikutan masalah gangguan bekalan air di daerah ini.

Raja Norsahifah Raja Hussin, 28, menyatakan sumber pendapatannya turut terjejas susulan perniagaan diusahakan hanya boleh beroperasi tiga hingga empat hari seminggu susulan bekalan air terjejas sejak akhir tahun lalu.

Menurutnya, dia terpaksa mencari jalan lain bagi memastikan perniagaannya dapat diteruskan dengan membeli enam hingga lapan tong air daripada penduduk sekitar Besut yang tidak terjejas dengan masalah tersebut.

"Saya perlu membeli tong air untuk membolehkan perniagaan mencuci kenderaan dapat beroperasi seperti biasa. Namun jumlah kereta yang boleh dicuci adalah dihadkan mengikut kuantiti air yang ada.

"Kita juga dalam situasi di mana bekalan air diperoleh pun terhad menyebabkan agak sukar menerima jumlah kereta yang boleh dicuci pada kadar yang banyak.

"Ditambah pula kenderaan bersaiz besar memerlukan kuantiti air yang banyak sekali gus menyebabkan jumlah kereta yang dapat dicuci hanya sekitar empat hingga lima buah kenderaan berbanding belasan kereta sebelum ini," katanya ketika ditemui pemberita di Kampung Bukit Keluang di sini pada Jumaat.

Justeru, dia menyatakan terpaksa menanggung kerugian disebabkan jumlah jualan menurun akibat masalah tersebut.

Katanya, sebelum ini dia meraih lebih RM500 sehari, namun kini hanya mampu memperoleh RM100 dalam masa sehari.

Artikel Berkaitan:

"Saya juga turut menerima kecaman daripada pelbagai pihak lain yang menganggap saya telah menyalahgunakan air ketika dalam situasi kritikal ketika ini.

"Saya terpaksa pekakkan telinga dengan sindiran dan tohmahan tersebut. Jika saya tidak teruskan perniagaan, saya tak ada sumber pendapatan nak bayar sewa kedai dan gaji pekerja.

"Saya terpaksa teruskan perniagaan meskipun hadapi pelbagai cabaran. Jadi saya harap masalah ini dapat diatasi segera daripada pihak berwajib," ujarnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!