UEM Lestra, HEXA Renewable, ITRAMAS bangunkan loji kuasa solar hibrid pertama
UEM Group Berhad menerusi anak syarikatnya, UEM Lestra Berhad bersama HEXA Renewables Malaysia Sdn Bhd dan ITRAMAS Corporation Sdn Bhd telah menandatangani perjanjian kerjasama membangunkan loji jana kuasa solar hibrid 500 mega watt (MW) pertama di Segamat, Johor.
Ia susulan daripada projek solar hibrid satu gigawatt di bawah Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Kebangsaan (NETR) yang diumumkan oleh kerajaan pada 27 Julai 2023.
Pengerusi UEM Lestra dan Pengarah Urusan UEM Group, Datuk Mohd Izani Ghani berkata, menerusi kerjasama itu mereka memiliki pegangan saham sebanyak 51 peratus, manakala HEXA Renewables pula 49 peratus.
“Di bawah perjanjian ini, ITRAMAS akan menyediakan perkhidmatan teknikal seperti kejuruteraan, perolehan, pembinaan dan pentauliahan (EPCC) terbesar di Malaysia.
“Usaha merealisasikan projek peralihan tenaga strategik dan bernilai tinggi negara ini telah bermula dengan baik serta telah mendapatkan kawasan tanah yang sesuai di Segamat,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Turut hadir Pengerusi UEM Group, Datuk Amran Hafiz Affifudin; Pengerusi ITRAMAS, Datuk Khairuddin Ibrahim; Pengarah Eksekutifnya,Tunku Hammam Tunku Sulong dan Rakan Kongsi Kanan I Squared Capital, Harsh Agrawal.
Tambah beliau, perbincangan antara UEM Lestra dan rakan-rakan perniagaan yang lain sedang berlangsung serta perkembangan lanjut akan dimaklumkan dari masa ke masa.
“Kita juga akan bekerjasama dengan kerajaan berhubung butiran kerangka akses pihak ketiga (TPA) yang membolehkan projek ini memulakan operasinya,” ujarnya.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif HEXA Renewables, Vince Cho berkata, inisiatif tersebut berupaya menjadikan Malaysia sebagai hab tenaga boleh baharu di Asia Tenggara.
Menurutnya, projek itu akan terus dimanfaatkan oleh syarikat yang terlibat bagi memastikan tenaga hijau menjadi model perniagaan baharu di Malaysia.
“Mereka yang terlibat telah bekerja keras untuk berada di sini dan akan terus memanfaatkan kelebihan serta pengalaman dalam membangunkan projek berskala besar ini.
“Kami yakin dengan inisiatif lain di bawah NETR, akan membuka jalan ke arah menjadikan Malaysia sebagai hab tenaga boleh baharu di Asia Tenggara,” katanya.
Dalam pada itu, Pengarah Urusan ITRAMAS Corporations, Lee Choo Boo berkata, perjanjian tersebut merupakan kemajuan yang terhasil daripada perbincangan semua pihak untuk membentuk implikasi positif perniagaan di Malaysia.
Tambah beliau, usaha itu akan memberi sumbangan positif terhadap landskap tenaga baharu dan teknologi hijau dalam negara.
“Perbincangan dengan syarikat yang berpotensi untuk menjadi pembeli adalah penting dalam membentuk impak positif sekaligus merealisasikan perancangan sedia ada,” ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!