Isu pekerja asing: Sokongan Majlis Peguam bukti pendirian kerajaan tepat

Steven Sim pada sidang media berhubung Program Kesuma MADANI bersama Komuniti sempena Hari Thaipusam di Pejabat Pengurusan Batu Caves pada Jumaat. Foto Bernama
Steven Sim pada sidang media berhubung Program Kesuma MADANI bersama Komuniti sempena Hari Thaipusam di Pejabat Pengurusan Batu Caves pada Jumaat. Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Sokongan dan penerimaan positif Majlis Peguam terhadap ketegasan kerajaan kepada majikan dan ejen berhubung isu pengambilan pekerja asing menunjukkan bahawa pendirian itu tepat dan wajar.

Menteri Sumber Manusia, Steven Sim berkata, pendirian kementerian jelas iaitu setiap pekerja asing yang dibawa masuk ke Malaysia wajib dibayar gaji selepas mereka menandatangani kontrak perkhidmatan bersama majikan dan ejen pekerjaan.

Beliau berkata, kewajiban itu berdasarkan peruntukan di bawah Akta Kerja 1955 dan juga mengambil kira keputusan beberapa kes penghakiman di mahkamah berkaitan isu penggajian sebelum ini.

"Pendirian kita jelas, kalau nak bawa masuk pekerja asing ke Malaysia, kena ada kerja.

"Kalau tiada pekerjaan, mereka tidak boleh dibawa masuk...tetapi jika dibawa masuk kerana ada kerja namun kemudian pekerjaan itu tidak dapat dilakukan atas sebab-sebab tertentu, maka wajib juga bayar gaji bermula daripada dia (pekerja) dibawa masuk.

"Ini penting supaya jangan ada orang (ejen) salah guna (kuota pengambilan) dan membiarkan pekerja berada di asrama berbulan-bulan tanpa dibayar gaji dan ia juga demi memastikan majikan tidak sewenang-wenangnya memohon dan membawa masuk pekerja asing ke Malaysia,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melawat tapak Program Kesuma MADANI yang akan diadakan sempena sambutan Thaipusam minggu depan, di Batu Caves, di sini pada Jumaat.

Semalam, Pengerusi Bersama Jawatankuasa Hal Ehwal Migran, Pelarian dan Imigresen Majlis Peguam Malaysia, Datuk Seri M Ramachelvam dilapor memuji ketegasan Steven Sim, pekerja asing, Majlis Peguam Negara, Kesuma MADANI dalam memastikan kes penipuan membabitkan warga asing yang dibawa masuk tanpa ketersediaan pekerjaan tidak berulang.

Artikel Berkaitan:

Steven Sim, sebelum itu, telah mengarahkan satu siasatan dibuat berhubung pendedahan media bahawa jumlah pekerja asing yang menganggur di Malaysia kini menjangkau lebih 500,000.

Sementara itu, mengenai dakwaan bahawa Agensi Pemantauan dan Pemeriksaan Perubatan Pekerja Asing (FOMEMA) menaikkan kadar yuran dan kekerapan pemeriksaan perubatan pekerja asing tanpa mengambil kira pandangan pihak berkepentingan, Sim berkata perkara itu akan dibincangkan dengan Kementerian Kesihatan.

Mengenai program Kesuma MADANI, Sim berkata Kementerian Sumber Manusia (KSM) buat julung kalinya akan mengerahkan 200 sukarelawan Wira Kesuma ke Batu Caves untuk membantu pihak kuil menguruskan logistik ketika berlangsungnya perayaan Thaipusam pada 25 Januari ini.

Selain itu, KSM juga katanya akan membuka reruai di khemah utama program bagi menawarkan maklumat pekerjaan dan mendaftarkan masyarakat India dengan kursus-kursus teknikal yang diperlukan oleh pasaran pekerjaan.

"Reruai ini diwujudkan dengan kerjasama Unit Transformasi India Malaysia (MITRA) kerana kita juga mahu ramai suri rumah masyarakat India berdaftar dengan Skim Keselamatan Sosial Suri Rumah (SKSSR) yang dilaksanakan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO).

"Memandangkan sejuta pengunjung dan penganut Hindu dianggarkan datang ketika perayaan itu, maka kita berharap mungkin separuh daripada jumlahnya mendaftar (dengan) SKSSR,” katanya.- Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!