Parcel Scam: Wanita rugi RM22,200 diperdaya
KUANTAN - Seorang wanita mengalami kerugian kira-kira RM22,200 selepas terpedaya dengan sindiket 'parcel scam' yang menjanjikan kiriman bungkusan hadiah dari United Kingdom, akhir Disember lalu.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Pahang, Superintendan Mohd Wazir Mohd Yusof berkata, mangsa berusia 36 tahun itu diperdaya selepas lelaki dikatakan dari United Kingdom yang mendakwa mahu menghantar bungkusan berupa hadiah kepadanya.
Menurutnya, mangsa seterusnya menerima panggilan daripada individu menyamar sebagai wakil di syarikat kurier yang mendakwa kiriman tersebut ditahan.
"Bagi melepaskan barangan kiriman itu, mangsa diarahkan untuk membayar beberapa kos penghantaran dan kos penyimpanan barang itu.
"Mangsa kemudian membuat lima kali transaksi antara 24 hingga 3 Disember lalu ke dalam dua akuan yang telah diberikan suspek kepada mangsa," katanya ketika dihubungi Sinar Harian hari ini.
Beliau berkata, mangsa mula sedar ditipu apabila jumlah pembayaran dilakukan kepada suspek terlampau banyak dianggarkan RM22,000.
"Mangsa seterusnya membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Lipis semalam," katanya.
Beliau berkata, modus operandi yang digunakan suspek dengan memperdaya mangsa dalam urusan kiriman barang sehingga mengalami kerugian.
"Tindakan licik itu akan mendorong mangsa masukkan wang untuk mendapatkan bungkusan tersebut.
"Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu," katanya.
Dalam pada itu, Mohd Wazir menasihatkan agar orang awam tidak mudah percaya dan menjadi mangsa sindiket parcel scam.
"Berhati-hati dan tidak mudah percaya dengan panggilan telefon dan mesej palsu oleh mana-mana individu yang menyamar sebagai pegawai atau anggota polis, pihak kastam, pihak syarikat kurier dan rakan kenalan yang baru dikenali di media sosial dan sebagainya," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!