Nelayan Indonesia leka kaut hasil laut negara ditahan

Antara nelayan warga Indonesia yang ditahan ketika leka mengaut hasil laut negara pada kedudukan lebih kurang 30 batu nautika barat daya Sungai Tengkorak, dekat sini jam 3.45 petang.
Antara nelayan warga Indonesia yang ditahan ketika leka mengaut hasil laut negara pada kedudukan lebih kurang 30 batu nautika barat daya Sungai Tengkorak, dekat sini jam 3.45 petang.
A
A
A

KLANG - Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Selangor menahan dua bot nelayan Indonesia yang didapati menceroboh perairan negara di Tanjung Karang, dekat sini pada Khamis.

Pengarahnya, Kepten Maritim Abdul Muhaimin Muhammad Salleh berkata, 10 awak-awak termasuk dua tekong warga Indonesia ditahan ketika sedang leka mengaut hasil laut negara pada kedudukan lebih kurang 30 batu nautika barat daya Sungai Tengkorak, dekat sini jam 3.45 petang.

Beliau berkata, Pusat Operasi Maritim Negeri Selangor menerima maklumat daripada Area Control Centre (ACC) Klang jam 2.40 petang, seterusnya mengarahkan KM Bagan Datuk yang melaksanakan OP Ehsan, OP Murni, OP Tiris 3.0 dan OP Sakau ke lokasi tersebut.

Abdul Muhaimin Muhammad Salleh
Abdul Muhaimin Muhammad Salleh

Setiba di lokasi, kata beliau, pihak KM Bagan Datuk berjaya mengesan sebuah bot nelayan Indonesia tanpa nombor pendaftaran melakukan aktiviti penangkapan ikan.

"Malah di lokasi berhampiran, terdapat sebuah lagi bot nelayan Indonesia tanpa nombor pendaftaran bersama seorang tekong serta empat orang awak-awak warga Indonesia telah menceroboh perairan negara dan kesemuanya berjaya ditahan oleh pihak Maritim Malaysia.

"Hasil pemeriksaan lanjut ke atas kedua-dua bot berkenaan, kesemua suspek berusia dalam lingkungan 25 hingga 56 tahun.

"Kesemua yang ditahan didapati gagal mengemukakan sebarang dokumen pengenalan diri," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Artikel Berkaitan:

Abdul Muhaimin berkata, dianggarkan lebih kurang 400 kilogram ikan campur berada di atas kedua-dua bot tersebut, hasil daripada aktiviti penangkapan ikan menggunakan rawai.

Menurut beliau, bot serta kesemua suspek kemudiannya ditahan dan diiring ke ibu pejabat Maritim Malaysia Negeri Selangor bagi siasatan lanjut.

Katanya, kes disiasat di bawah Akta Perikanan 1985 kerana disyaki menceroboh dan melakukan aktiviti menangkap ikan di Perairan Malaysia secara haram serta Akta Imigresen 1959/63 kerana tidak mempunyai dokumen pengenalan diri yang sah.

"Maritim Malaysia akan terus meningkatkan penguatkuasaan di perairan negara bagi mengelakkan hasil laut dicuri nelayan asing.

"Orang ramai dimohon untuk memberi kerjasama dengan menyalurkan maklumat kepada Maritim Malaysia jika terdapat sebarang aduan, insiden kecemasan dan aktiviti jenayah di laut menerusi Pusat Operasi Maritim Malaysia atau MERS 999," ujarnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!