Pintu palam pesawat tercabut, CAAM tawar bantuan kepada FAA AS
PELABUHAN KLANG - Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) bersedia menawarkan bantuan kepada Pentadbiran Penerbangan Persekutuan (FAA) Amerika Syarikat (AS) berhubung insiden palam pintu pesawat Alaska Airlines yang tercabut dan tertera tulisan tangan 'Made In Malaysia'.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, CAAM telah menghubungi FAA Asia-Pasifik di Singapura selepas pengesahan palam pintu tersebut dibuat di Malaysia oleh Lembaga Keselamatan Pengangkutan Kebangsaan (NTSB) AS, semalam.
"Kami (CAAM) telah secara proaktif menghubungi pejabat FAA untuk menawarkan bantuan susulan laporan bahawa palam pintu itu disahkan dibuat di Malaysia.
"Setakat ini, mereka (FAA) berkata mereka akan hubungi kita jika memerlukan bantuan.
"Walaupun palam pintu itu dibuat di Malaysia, ia adalah komponen yang berada di bawah kelulusan FAA...dari segi kelulusan produk ia di bawah FAA,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan pelabuhan pelayaran antarabangsa pertama negara, Costa Serena di Terminal Kapal Persiaran Pelabuhan Klang (PKTC) di sini pada Jumaat.
Semalam, media melaporkan NSTB AS mengesahkan palam pintu Boeing BA 737 MAX 9 yang tercabut ketika penerbangan pesawat Alaska Airlines awal bulan ini dikilangkan di Malaysia.
Sementara itu, mengenai program hari ini, Loke berkata kerjasama antara syarikat pelayaran mewah, Costa Cruises dan pengendali pelancongan pelayaran terkemuka Hwajing Travel & Tours (Hwajing) telah menyediakan potensi manfaat ekonomi jangka panjang kepada negara.
"Apabila pelabuhan pelayaran antarabangsa pertama negara ini berjaya direalisasikan di Pelabuhan Klang, ia akan menjangkau rangsangan kepada sektor pelancongan dan ekonomi Malaysia,” katanya.
Beliau berkata, kapal persiaran tersebut turut mendapat pensijilan halal daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) bagi beberapa restoran di dalam kapal tersebut.
"Mereka tawarkan lebih kepada mesra Muslim iaitu apabila ada pelancong Muslim, mereka ada pilihan restoran halal.
"Kebanyakkan kapal persiaran antarabangsa mereka tidak ada restoran halal, ia menyukarkan pelancong beragama Islam.
"Jadi apa yang mereka buat untuk restoran ini adalah ada beberapa restoran terpilih yang mendapat pensijilan halal supaya mereka boleh tawarkan makanan halal kepada pengunjung," katanya. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!