Lima kontraktor cedera bumbung bangunan runtuh
SEREMBAN - Lima kontraktor pemasangan panel solar cedera ringan selepas bumbung sebuah bangunan di Pusat Komersial Oakland dekat sini runtuh pada tengah hari Jumaat.
Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Seremban 2, Pegawai Bomba Kanan I, Harzizi Hashim berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan membabitkan lelaki warga tempatan itu kira-kira jam 1.05 tengah hari.
"Kejadian itu melibatkan runtuhan bumbung bangunan berukuran 6x30 meter persegi di bahagian premis yang dalam proses pemasangan sistem solar.
"Semua mangsa yang cedera kemudian dihantar ke Hospital Tuanku Ja'afar di sini untuk rawatan lanjut," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Menurutnya, pasukan bomba melakukan pemantauan bagi memastikan kawasan terbabit selamat dan kes kemudian diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!