Penghantar p-hailing beri tempoh lima hari selesai lima tuntutan
PETALING JAYA - Persatuan Penghantar P-Hailing Malaysia mengemukakan lima tuntutan kepada syarikat p-hailing dalam pertemuan yang diadakan di Ibu Pejabat Grab Malaysia di sini pada Jumaat.
Timbalan Presidennya, Abdul Hakim Abdul Rani berkata, tuntutan utama adalah supaya pihak syarikat mengembalikan upah penghantar kepada yang asal berbanding sekarang hanya RM1 ke RM3.50.
"Kita mahu upah untuk rider Lembah Klang, bagi dua kilometer pertama bayarannya adalah RM5 manakala luar Lembah Klang RM4.50," katanya pada sidang akhbar selepas pertemuan dengan wakil syarikat p-hailing itu pada petang Jumaat.
Menurutnya, tuntutan kedua adalah melibatkan pickup bonus 60 sen kepada penghantar dikekalkan.
"Isu pickup bonus ada yang tak dapat, jadi mana-mana rider yang tak dapat, syarikat bersetuju untuk semak kembali tentang perkara ini," katanya.
Jelas Abdul Hakim, dalam pertemuan itu turut dibincangkan isu perkiraan upah untuk penghantaran 'double triple order.'
"Kita mahu upah dikira dari rumah vendor, bukan dikira dari rumah pertama atau kedua.
"Berkenaan dengan pembayaran semula isu cash on delivery (COD) yang pelanggan enggan terima, bayaran semula kepada rider mengambil masa yang terlalu lama," katanya.
Abdul Hakim berkata, pihak syarikat juga akan menyiasat isu upah penghantaran tidak adil kepada rider.
"Contohnya kadar bayaran dikenakan kepada pelanggan RM8 tapi upah kepada kita RM4, kenapa perkara ini berlaku, adakah syarikat ambil ambil sedikit bayaran juga? Perkara tersebut juga syarikat akan siasat," ujarnya.
Pada pertemuan itu juga, persatuan turut mengemukakan isu segelintir penghantar ditamatkan perkhidmatan atas sebab mempunyai rekod jenayah.
"Kita minta syarikat bertimbang rasa dengan rider kerana ada kesalahan yang mereka lakukan tak berapa besar tapi tidak boleh berkhidmat. Tolonglah bagi peluang mereka untuk cari rezeki," katanya.
Lebih 500 penghantar p-hailing berkumpul secara aman bagi menjayakan 'Tuntutan Hak Rider' yang dianjurkan persatuan itu.
Dalam pada itu, Abdul Hakim menetapkan tempoh lima hari bekerja untuk pihak syarikat menyelesaikan kesemua tuntutan yang dikemukakan
"Jika pihak atasan syarikat gagal menyelesaikan isu berkenaan, lebih ramai rider akan berkumpul pada Jumaat akan datang," tegasnya.
Sebelum ini, Persatuan Perpaduan Rakan Penghantar Malaysia (PPRPM) menggesa syarikat penyedia perkhidmatan p-hailing mengembalikan semula kadar bayaran upah penunggang kepada bayaran asal secara serta-merta.
PPRPM berkata, ini kerana kadar bayaran upah yang diberikan ketika ini sangat rendah selain pengiraan kadar bayaran upah itu juga tidak jelas.
Isu bayaran upah itu juga pernah disuarakan terus oleh penunggang p-hailing kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada program Temu Anwar di Petaling Jaya, Selangor pada Julai tahun lalu.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!