Jawatan JPKK, JKKR Felda masih dalam perbincangan - MB
JERANTUT - Kerajaan Pahang masih belum membuat keputusan muktamad untuk mewujudkan jawatan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) atau Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Rancangan(JKKR) di setiap rancangan Felda di negeri ini yang sudah mendapatkan geran hak milik masing-masing.
Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, setakat ini perkara tersebut masih dalam peringkat kajian dan kerajaan negeri akan mencari jalan terbaik serta mengikut kepada kesesuaian berhubung perkara tersebut.
"Sekarang ia masih dalam perbincangan, belum muktamad dan belum dibawa kepada Exco.
"Kalau banyak sangat dua kepala payah pula, nak urus, lebih baik satu daripada dua," katanya lagi.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Penyampaian Kelulusan Skim Tanah Rakyat (STR) Generasi Baharu Felda dan Suratan Hak Milik Felda Jengka 24 Serta Felcra Bukit Nikmat di pekarangan masjid Felda Jengka 24 dekat sini pada Jumaat.
Hadir sama, Pengerusi Felda, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek, Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang, Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsuddin, Exco Felda, Koperasi dan Usahawan negeri, Ir Razali Kassim dan Ketua Peneroka Felda Jengka 24, Razak Daud.
Pada program tersebut, seramai 1,838 orang menerima STR Generasi Baharu Felda manakala 292 peserta Felda Jengka 24 dan 159 peserta Felcra Bukit Nikmat menerima Suratan Hak Milik Felda.
Dalam pada itu, Wan Rosdy berkata, buat masa ini terdapat kira-kira lima peratus masih belum menerima suratan hak milik susulan masalah teknikal dan akan diselesaikan dalam kadar segera.
"Sehingga kini seramai 40,861 daripada 43,126 peneroka Felda di Pahang telah pun menerima suratan hak milik," jelasnya.
Sementara itu, Razak ketika ditemui memberitahu, penyerahan suratan hak milik itu sangat dinanti-nantikan oleh peneroka selepas menunggu hampir 40 tahun.
Menurutnya, ia menjadi detik bersejarah buat semua peneroka terlibat.
"Kami berterima kasih kepada kerajaan negeri dan Menteri Besar atas segala usaha yang telah dijalankan untuk merealisasikan perkara ini," tambahnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!