Perlukah rakyat Sabah tunggu PRU sekali lagi untuk dapat jalan raya sempurna?

Murid terpaksa berjalan kaki di laluan yang berlumpur untuk sampai ke SK Magandai, Kota Marudu.
Murid terpaksa berjalan kaki di laluan yang berlumpur untuk sampai ke SK Magandai, Kota Marudu.
A
A
A

KOTA KINABALU - Hampir dua tahun lalu, Sinar Harian pernah melaporkan keputusan rasmi Parlimen Kota Marudu hanya diperoleh keesokan harinya selepas tiga peti undi dari pusat daerah mengundi (PDM) Sungai Magandai terkandas akibat banjir.

Disebabkan keadaan banjir itu menyebabkan jalan penghubung dari Kampung Magandai tidak dapat dilalui oleh kenderaan yang membawa peti undi ke pusat penjumlahan undi di Dewan Komoniti Kota Marudu.

Tiga peti undi itu hanya tiba di pusat penjumlahan undi selepas sehari waktu mengundi berlangsung iaitu sekitar jam 6 pagi Ahad (22 November 2022) yang dibawa dengan menaiki pacuan empat roda.

Begitu juga apa yang pernah berlaku pada tahun yang sama mengenai kisah pasangan suami isteri terpaksa berjalan kaki selama sejam dengan membawa jenazah anak mereka berusia lima bulan untuk dikebumikan di Kampung Samparita Tengah.

Pasangan suami isteri itu terpaksa meredah perjalanan itu selepas van jenazah yang dinaiki mereka tidak boleh sampai ke kampung berkenaan berikutan keadaan jalan rosak selain hujan yang menyebabkan kenderaan tersebut 'tersangkut' di tengah jalan.

Difahamkan, jalan untuk ke Kampung Samparita Tengah adalah laluan yang sama untuk ke Kampung Sungai Magandai dan ia tidak boleh dilalui jika keadaan cuaca kurang baik.

Ia bolah menyebabkan kenderaan terkandas susulan keadaan jalan yang berlumpur di sepanjang laluan tersebut.

Tujuan penulis membawa pembaca mengimbas kembali dua kejadian yang dilaporkan Sinar Harian pada 2022 menunjukkan selepas hampir dua tahun, penduduk kampung di kawasan tersebut masih berhadapan masalah yang sama.

Artikel Berkaitan:

Dua murid yang berjalan kaki meredah lumpur meluahkan perasaan mereka yang kepenatan dan dalam keadaan lapar ketika melalui perjalanan ke SK Magandai.
Dua murid yang berjalan kaki meredah lumpur meluahkan perasaan mereka yang kepenatan dan dalam keadaan lapar ketika melalui perjalanan ke SK Magandai.

Selepas memasuki Januari 2024, tular lagi video mengenai laluan itu masih dalam keadaan becak setiap kali hujan sekali gus boleh menyebabkan kenderaan yang melalui jalan tersebut terkandas.

Lebih menyedihkan, menerusi paparan dua video yang dikongsikan pengguna Facebook menunjukkan sekumpulan murid terpaksa berjalan kaki 'ditemani' lumpur sepanjang perjalanan untuk ke sekolah.

Video masing-masing berdurasi 38 dan 23 saat itu memaparkan empat kanak-kanak dalam lingkungan usia 7 hingga 12 tahun terpaksa meredah laluan berlumpur disebabkan kenderaan yang dinaiki mereka rosak di tengah jalan.

Dalam video itu juga kelihatan wajah kanak-kanak dalam keadaan kepenatan dan kelaparan kerana meredah jalan yang jauh selain berlumpur untuk sampai ke Sekolah Kebangsaan (SK) Magandai.

Difahamkan, mereka terpaksa menumpang tidur semalaman di salah sebuah rumah penduduk kampung sebelum meneruskan perjalanan keesokan harinya.

Namun apa yang menyedihkan, mereka hanya tidur di bawah kolong rumah tersebut dalam keadaan sejuk.

Menerusi kisah yang dipaparkan ini, masihkah tiada jalan penyelesaian untuk penduduk kampung khususnya murid serta guru menikmati jalan raya yang lebih baik untuk ke sekolah?

Walau berapa banyak pengumuman telah dibuat untuk disalurkan kepada Sabah, namun sehingga kini masih ada perkampungan di kawasan pedalaman sukar untuk dilalui disebabkan jalan raya masih tidak dinaik taraf.

Jadi adakah rakyat perlu menunggu pilihan raya sekali lagi untuk ditabur 'janji' bagi mendapatkan jalan raya yang sempurna untuk kegunaan seharian penduduk di kawasan tersebut?

@sinarharianonline Jalan becak, berlumpur tidak menghalang semangat para murid Sekolah Kebangsaan (SK) Magandai, Kota Marudu, Sabah menuntut ilmu malah tetap tersenyum menempuh perjalanan jauh dengan terpaksa berjalan kaki untuk tiba ke sekolah. Anda boleh baca berita penuh di portal Sinar Harian di www.sinarharian.com.my atau swipe up di IG story serta jangan lupa follow IG @sinarharian untuk berita terkini dalam dan luar negara. #SinarHarian#SinarTerkini#Viral#pelajar#sabah original sound - Sinar Harian

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!