Ibu maut, anak cedera kereta terbabas langgar pokok

Anggota bomba mengeluarkan mangsa daripada kereta yang terbabit dalam kemalangan di KM19, Jalan Segamat-Kuantan pada awal pagi Jumaat. Foto BBP Segamat
Anggota bomba mengeluarkan mangsa daripada kereta yang terbabit dalam kemalangan di KM19, Jalan Segamat-Kuantan pada awal pagi Jumaat. Foto BBP Segamat
A
A
A

SEGAMAT - Seorang wanita maut manakala anak lelakinya cedera dalam kemalangan di Kilometer (KM) 19, Jalan Segamat-Kuantan, pada awal pagi Jumaat.

Ketua Polis Daerah Segamat, Superintenden Ahmad Zamry Marinsah berkata, kemalangan dipercayai berlaku apabila kereta yang dinaiki dua beranak itu terbabas ketika dalam perjalanan dari arah Tangkak menghala ke arah Keratong, Pahang.

“Ketika sampai di lokasi, kereta yang dipandu lelaki berusia 20 tahun itu telah hilang kawalan hingga terbabas lalu melanggar pokok di tepi jalan.

“Akibatnya, penumpang wanita berusia 50 tahun, mengalami kecederaan parah di kepala dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian sementara pemandu kereta mengalami kecederaan dan masih dirawat di Hospital Segamat,” katanya.

Beliau berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ), 1987.

Sementara itu, Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Segamat, Pegawai Bomba Kanan I Khas Untuk Penyandang (KUP), Mansor Mohamad berkata, pihaknya menerima panggilan mengenai kemalangan tersebut pada jam 3.24 pagi.

Katanya, sebaik menerima panggilan berkenaan, satu jentera Light Fire Rescue Tender (LFRT) dengan tujuh anggota dari BBP Segamat dihantar ke lokasi.

“Setibanya pasukan keluaran operasi (PKO) ke tempat kejadian, didapati kemalangan jalan raya tersebut melibatkan sebuah kereta Perodua Bezza yang telah terbabas. Mangsa tidak tersepit.

Artikel Berkaitan:

“PKO kemudiannya bertindak mengeluarkan mangsa keluar daripada kenderaan dan dibawa oleh pihak perubatan bagi menerima rawatan lanjut.

“Selain itu, terdapat seorang mangsa yang telah disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan di lokasi dan diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan seterusnya," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!