Padah simpan minyak masak melebihi had

Jegan (dua dari kanan) bersama pegawai penguat kuasa KPDN menunjukkan minyak masak yang dirampas dalam serbuan di sebuah pasar raya di Sungai Jawi pada Jumaat.
Jegan (dua dari kanan) bersama pegawai penguat kuasa KPDN menunjukkan minyak masak yang dirampas dalam serbuan di sebuah pasar raya di Sungai Jawi pada Jumaat.
A
A
A

NIBONG TEBAL - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Pulau Pinang merampas 3,480 kilogram (kg) minyak masak paket bersubsidi dari sebuah pasar raya di Sungai Jawi dekat sini pada Jumaat.

Pengarahnya, RS Jegan berkata, serbuan dilakukan pada jam 4 petang itu hasil maklumat Unit Risik berhubung penyimpanan minyak masak yang mencurigakan.

Menurutnya, ketika pemeriksaan lanjut dibuat menemukan 4,480 kg minyak masak peket yang disimpan di stor premis berkenaan.

"Kita dapati premis berkenaan mempunyai lesen runcit minyak masak yang masih sah di mana had simpanan yang dibenarkan hanya 1,000 kg sahaja dan terdapat lebihan had simpanan 3,480 kg.

"Pemilik premis berusia sekitar 30 tahun itu memberi alasan kadang-kadang tidak sempat mengisi semula stok minyak masak menyebabkan dia mendapatkan bekalan lebih dari pembekal tempatan untuk dijual di pasar raya," katanya ketika ditemui pemberita di lokasi serbuan pada Jumaat.

Jegan berkata, disebabkan premis berkenaan terletak bersebelahan dengan asrama pekerja warga asing, beliau percaya bekalan minyak masak bersubsidi itu dijual kepada mereka dengan harga tertentu.

Jelasnya, tindakan peniaga berkenaan menjual minyak peket bersubsidi kepada warga asing juga menyebabkan berlaku ketirisan dan subsidi kerajaan tidak sampai kepada pihak yang sepatutnya.

"Jumlah nilai sitaan keseluruhan dianggarkan sebanyak RM8,700. Kes akan disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, beliau menasihatkan peniaga supaya mematuhi undang-undang dan peraturan-peraturan yang dikuatkuasakan oleh KPDN.

"Orang ramai boleh menyalurkan maklumat atau aduan berkaitan peniaga yang tidak mematuhi undang-undang kepada pihak kementerian melalui saluran aduan disediakan,"katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!