Pendatang asing di Johor Bahru, Batu Pahat digempur
JOHOR BAHRU - Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Johor menahan 51 pendatang asing dalam beberapa operasi di sekitar daerah ini dan Batu Pahat, semalam.
Pengarahnya, Baharuddin Tahir berkata daripada jumlah itu, 27 orang terdiri daripada warga Myanmar, Bangladesh, Indonesia dan India berusia antara 20 hingga 47 tahun yang ditahan menerusi Op Selera, Op Belanja, Op Dandan dan Op Kutip pada jam 11.40 pagi di Pasar Borong Pandan di sini.
Selain itu, beliau berkata, pihaknya juga menyerbu empat premis dan menahan 23 warga asing dalam Op Gegar di Masai, Pasir Gudang pada jam 5.30 petang, hari sama.
"Mereka yang ditahan terdiri daripada wanita warga Vietnam, Indonesia dan Thailand berusia lingkungan 21 hingga 42 tahun.
"Tangkapan dibuat melibatkan warga asing yang disyaki pekerja tukang urut di premis tersebut," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.
Menurut Baharuddin seorang lagi lelaki warga Indonesia pula ditahan dalam Op Belanja di Batu Pahat kira-kira jam 4 pagi, semalam.
Beliau berkata, ketika operasi, lelaki berusia 33 tahun itu melarikan diri ke arah sungai sebelum berjaya dicekup anggota jabatan berkenaan.
"Kesemua yang ditahan itu antaranya melakukan kesalahan bekerja tanpa permit sah, menyalahgunakan Pas Lawatan Sosial (PLS) dan Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS).
"Kes disiasat di bawah Peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963, Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155), Seksyen 15(1)(c) dan Seksyen 55E akta yang sama,” katanya. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!