Kanak-kanak autistik hampir lemas terjatuh tali air
SIK - Seorang kanak-kanak lelaki berusia empat tahun hampir lemas selepas dipercayai terjatuh ke dalam tali air di Kampung Tengah, Mukim Jeneri, di sini pada Jumaat.
Dalam kejadian jam 4.50 petang itu, mangsa yang juga kanak-kanak autistik bermain seorang diri di hadapan rumah neneknya yang terletak tidak jauh dengan lokasi kejadian.
Pengarah Briged Sukarelawan Yayasan Jariah Malaysia (BYSJM), Mahadzir Abdul Hamid berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 5.13 petang dan sepasukan empat anggota penyelamat BSYJM digerakkan ke lokasi dengan sebuah ambulan paramedik bagi operasi menyelamat mangsa.
Beliau berkata, sebaik tiba di lokasi, didapati mangsa, Muhammad Izz Muttaqin Muhamaad Rizal tidak sedarkan diri dan badannya sudah kebiruan.
"Pihak kami melakukan bantuan resusitasi kardiopulmonari (CPR) untuk menyelamatkan mangsa.
"Sebaik mendapati mangsa mula memberi tindak balas, kami memberikan bantuan oksigen dan membawa mangsa ke Hospital Sik untuk rawatan lanjut.
"Keadaan mangsa dilaporkan stabil,”katanya.
Sementara itu, nenek mangsa yang hanya dikenali sebagai Hasnah ketika dihubungi berkata, awalnya dia menyangka cucunya mengikuti suaminya ke masjid untuk menunaikan solat Asar.
“Namun, saya berasa tidak sedap hati, terus keluar dari rumah lalu mencari cucu di serata tempat sebelum ditemui terlangkup dalam tali air.
“Cucu berjaya dinaikan ke atas tebing dengan bantuan jiran ketika itu dia tidak sedarkan diri sebelum jirannya bertindak menghubungi pasukan BSYJM,"katanya.
Menurut Hasnah ibu bapa kanak-kanak itu menetap di Kuala Lumpur kerana berkerja.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!