Gagal eksport 200 biji kelapa ke Thailand
![Buah kelapa adalah komoditi kawalan yang memerlukan permit untuk dieksport ke luar negara.](https://www.sinarharian.com.my/uploads/images/2020/01/04/580622.jpg)
BUKIT KAYU HITAM - Jabatan Perkhidmatan Kuarantin Dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) berjaya menggagalkan cubaan mengeksport kelapa ke Thailand di Kompleks Kastam, Imigresen, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Bukit Kayu Hitam, Khamis lalu.
Pengarah Maqis Kedah, Lily Rosalind berkata, hasil pemeriksaan pada jam 12.30 tengah hari di laluan kereta di ICQS Bukit Kayu Hitam mendapati sebuah kenderaan pacuan empat roda jenis Toyota Hilux cuba membawa keluar 200 biji kelapa tanpa permit eksport.
Menurutnya, nilai anggaran keseluruhan rampasan kelapa itu adalah sebanyak RM500.
"Kelapa merupakan salah satu komoditi kawalan di negara ini.
"Perbuatan mengeksport keluaran pertanian tanpa permit yang sah adalah menjadi suatu kesalahan di bawah Sekyen 11(2) Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 [Akta 728] yang boleh dihukum di bawah Seksyen 11(3), Akta yang sama yang mana membawa hukuman boleh denda tidak melebihi RM100,000 atau penjara selama tempoh tidak melebihi 6 tahun atau kedua-duanya sekali," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata, dagangan import dan eksport barangan pertanian di bawah barangan kawalan memerlukan kelulusan dari pihak ibu pejabat sebelum permit dikeluarkan.
"Ini kerana bagi mengawal kemasukan perosak seperti rhynchophorus ferrugineus atau red palm weevil sejenis perosak bawaan pokok jenis palma khasnya kelapa sawit yang amat digeruni di rantau Asia yang boleh melumpuhkan industri pertanian jika tidak dibendung dengan sebaiknya," katanya.
Katanya, Maqis komited melaksanakan tugasan di semua pintu masuk negara bagi memastikan komoditi pertanian yang masuk dan keluar mematuhi syarat dan peraturan ditetapkan bagi menjamin kualiti dan selamat untuk dimakan oleh rakyat Malaysia.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!