Geng rider pakat imarah masjid
IPOH - Usaha mengimarahkan masjid terutama waktu solat Subuh yang menjadi fenomena di seluruh negara turut dilaksana sekumpulan peminat motosikal di Masjid Sultan Idris Shah II iaitu Masjid Negeri Perak di sini pada Sabtu.
Penggerak Program Fajar Ride & Drive, Muhammad Shakir Jushaah berkata, inisiatif tersebut tercetus selepas melihat gerakkan yang dibuat selebriti tanah air, Alif Satar melalui kempen Geng Subuh Macam Jumaat.
Menurutnya, setiap hujung minggu Masjid Negeri Perak akan menjadi pilihan untuk anak muda memulakan aktiviti harian mereka bermula dengan solat Subuh.
"Alhamdulillah sejak minggu lalu sambutan amat menggalakkan walaupun hebahan cuma melalui media sosial dan kumpulan WhatsApp. Kita tidak memaksa sesiapa tetapi sekadar mengajak orang ramai ke masjid.
"Program ini kita akan teruskan dengan mengajak lebih ramai kumpulan lain. Kalau minggu sebelumnya geng motosikal, tetapi minggu ini kita ajak sekali kumpulan kereta pula turut serta dan selepas ini mungkin komuniti larian atau berbasikal," katanya ketika ditemui di Masjid Sultan Idris Shah II di sini pada Sabtu.
Muhammad Shakir berkata, program seumpama ini perlu digerakkan tanpa menunggu selebriti kerana masing-masing mempunyai cara tersendiri menarik jemaah ke masjid.
Menurutnya, tambahan ia merupakan latihan menjelang Ramadan yang diharap mampu menyemarakkan lagi kehadiran jemaah ke masjid.
Sementara itu, Muhammad Shakir menjelaskan Masjid Negeri Perak dipilih kerana mahu menghidupkan suasana pagi di Bandar raya Ipoh memandangkan kedudukan yang strategik menjadi persinggahan musafir yang datang ke sini terutama pada hujung minggu.
Katanya, waktu bukan hujung minggu, orang ramai boleh mengimarahkan masjid di kariah masing-masing.
Beliau turut mengharapkan agar inisiatif tersebut dapat dilaksanakan berterusan dengan kehadiran lebih ramai jemaah ke masjid
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!