Liga Arab adakan mesyuarat tergempar bincang isu Gaza
ISTANBUL- Liga Arab akan mengadakan mesyuarat tergempar di peringkat perwakilan tetap minggu depan bagi membincangkan perkembangan perang yang sedang berlaku di Gaza, lapor Agensi Anadolu.
Dalam satu kenyataan yang dipetik oleh Agensi Berita Mesir, wakil tetap Palestin ke Liga Arab, Mohannad Aklouk berkata, satu sesi luar biasa akan diadakan pada Isnin di ibu pejabatnya di Kaherah.
Beliau juga berkata permintaan itu dibuat oleh Palestin dan disokong oleh kebanyakan negara Arab.
Selain membincangkan perang ke atas Gaza, sesi itu juga akan menyentuh mengenai jenayah Israel di seluruh Tebing Barat yang diduduki dan kemusnahan sistematik dilakukan rejim Israel terhadap infrastruktur di kem pelarian di Tebing Barat.
Diplomat Palestin itu menyuarakan harapan agar pertemuan itu akan membuahkan tindakan politik, undang-undang, diplomatik dan ekonomi dalam menghadapi jenayah Israel yang boleh dilaksanakan atau disokong Liga Arab dan negara anggotanya.
Sekurang-kurangnya 24,762 rakyat Palestin terbunuh dan 62,108 lagi cedera dalam serangan Israel ke atas Gaza sejak 7 Okt, menurut pihak berkuasa kesihatan Palestin.
Serangan Israel mengakibatkan 85 peratus penduduk Gaza hilang tempat tinggal di samping berdepan kekurangan makanan, air bersih dan ubat-ubatan, manakala 60 peratus infrastruktur di enklaf itu rosak atau musnah, menurut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu. - Bernama/Anadolu
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!